Tuesday 10 April 2012

35,403 SOKONG SHAFIE APDAL

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SYAHADAH YAHYA

SERAMAI 35,403 ahli UMNO Bahagian Semporna daripada 481 cawangan telah berikrar taat setia memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi terhadap Datuk Seri Hj Mohd Shafie Hj Apdal untuk terus menerajui kepimpinan UMNO Semporna.

Ikrar itu dibuat semasa mereka menghadiri mesyuarat serentak cawangan-cawangan UMNO Bahagian P189 Semporna yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna Datuk Sri Hj Nasir Tun Dr Hj Sakaran yang di langsungkan di Dewan Serbaguna di Kampung Inabah Kamal, Semporna, kelmarin.

Dalam ucapannya, Nasir antara lain menyarankan agar ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian, cawangan dan akar umbi mulai dari sekarang haruslah bersiap sedia dan mengemaskinikan jentera pentadbiran masing-masing memandangkan pilihanraya umum ke 13 (PRU-13) akan berlangsung pada bila-bila masa.

Ketua-Ketua Cawangan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian termasuk Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua-Ketua Anak Negeri harus berganding bahu bagi menjalinkan kerjasama yang akrab antara satu sama lain bagi menjamin kekuatan dan keutuhan perjuangan UMNO agar lebih mantap.

Kata Hj Nasir lagi, parti-parti pembangkang yang ada di Semporna ini seperti PAS, PKR, DAP, SAPP dan STAR tidak mendapat sambutan daripada rakyat di daerah Semporna kerana mereka hanya pandai memutar belitkan fakta demi mencari pengaruh dan meraih simpati, tetapi perjuangan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat Semporna.

"Rakyat sekarang bukan macam rakyat di era tahun 1980-an yang senang digula-gulakan untuk mendapat sokongan. Mereka kini tidak lagi mudah percaya kepada bunyi paluan gendang kosong pembangkang,” ujar Hj Nasir.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Ketua Menteri selanjutnya menjelaskan, sejak BN memerintah, banyak kawasan di persisir laut yang dahulunya mundur dalam segala aspek, kini telah berubah wajah dan terbukti di Kampung Pulau Bum Bum telah mendapat pelbagai kemudahan asas seperti pembinaan rumah PPRT, bekalan air dan jalanraya.

“Saya merayu kepada para penyokong UMNO agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah songsang parti-parti pembangkang yang sering menabur fitnah dan mendakwa kononnya para pemimpin BN/UMNO tidak bekerja untuk memajukan Semporna, walhal semua ini dikecapi ketika Sabah diperintah BN," kata Haji Nasir lagi.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah ADUN Bugaya Datuk Ramlie Marhaban dan Ketua Perhubungan Parlimen P189 Semporna Hj Hisham Hj Abd Fattah.

No comments:

Post a Comment