PESERTA PERHIMPUNAN DIBERI
WANG?
EGO pembangkang yang selama
ini mendabik dada bahawa mereka tidak perlu atau pernah 'memberikan wang' untuk
menarik kehadiran penyokong dalam satu-satu aktiviti atau perhimpunan yang
dianjurkan, memakan diri Sabtu.
Bagi mereka, hanya Umno dan
Barisan Nasional (BN) sahaja yang perlu 'menyuap' duit atau menaja sesuatu bagi
menarik kehadiran khalayak sedangkan realitinya pada perhimpunan haram yang
disokong pembangkang di ibu negara hari ini menceritakan sebaliknya.
Tinjauan Bernama di beberapa
lokasi yang menjadi tumpuan peserta perhimpunan haram, yang kononnya untuk
menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil mendapati sebahagian daripada
mereka sebenarnya ditaja oleh pihak tertentu, begitu juga kerajaan negeri.
Perkara itu didedahkan oleh
beberapa peserta daripada Kelantan yang mana kedatangan mereka ditaja
sepenuhnya meliputi pengangkutan, penginapan dan keperluan lain seperti belanja
makan.
Menurut Wan Ismail Wan Mad,
34, beliau telah tiba di Kuala Lumpur sejak tiga hari lepas dari Tumpat dengan
menaiki bas yang ditaja Pas bahagian itu.
Katanya selain disediakan
hotel, beliau dan peserta lain turut diberi "duit poket" sebanyak
RM150 setiap seorang.
"Semasa perhimpunan
tahun lepas (9 Julai 2011) saya turun berdemo guna duit sendiri, sekarang
diberi duit poket serta disediakan bas dan hotel.
"Jadi lagi
bersemangatlah kami turun ke mari (Dataran Merdeka)," katanya ketika
ditemu bual Bernama di sini.
Seorang remaja yang hanya
mahu dikenali sebagai Azli, 25, berkata peluang untuk turun berhimpun dengan
segala perbelanjaan, termasuk duit poket disediakan kerajaan Pas Kelantan,
menjadi dorongan utama kepadanya untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
"Kami turun dua bas
dari Pasir Mas untuk demo kali ini, kami tinggal di hotel berdekatan bagi
memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka," katanya.
Pasangan suami isteri
berusia sekitar 50-an, dari Kedah pula berkata mereka didatangkan dengan 20
buah bas dengan dikenakan bayaran serendah RM10 seorang, berbanding harga
tambang biasa kira-kira RM100 pergi dan balik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Beliau yang hadir bersama
suaminya sejak semalam dan ditempatkan di sebuah hotel berdekatan Dataran
Merdeka berkata tambang semurah itu memberi lebih dorongan untuk mereka turun
ke ibu negara.
Sementara itu, Azizah, 23,
dari Permatang Pauh pula berkata beliau datang bersama dua saudara maranya bagi
memberi sokongan kepada perhimpunan itu.
Katanya mereka yang
didatangkan dengan sebuah bas turut diberikan RM20 seorang sebagai wang
belanja, didakwa diterima daripada seseorang bernama Mansor.
"Yang menghairankan
saya ialah kenapa hanya sebuah bas sahaja dari Permatang Pauh," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment