SIDANG.....Hamza
(kanan) bersama Ahmad Sofi semasa sidang media kelmarin.
Oleh : SITI AISYAH NARUDIN
WALAUPUN perhimpunan Bersih
3.0 yang dijalankan Sabtu lepas sedikit mengganggu program Bandar Selamat
anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), namun ia masih terkawal tanpa
sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Pesuruhjaya Polis Sabah,
Datuk Hamza Taib berkata, keadaan terbabit membuktikan peserta yang mengikuti
perhimpunan Bersih akur dan menghormati arahan yang dikeluarkan pihak polis.
Bagaimanapun menurutnya,
perhimpunan yang dibuat di kawasan Padang Merdeka itu sebenarnya tidak mendapat
kebenaran.
Namun jelasnya, ia masih
dapat dikawal dengan bantuan lebih kurang 150 anggota polis yang bertugas.
“Lokasi yang dicadangkan
membuat perhimpunan Bersih adalah di Stadium Mini Putatan, namun peserta tetap
berkeras untuk menjalankannya di Padang Merdeka.
“Ini yang menyebabkan
program Bandar Selamat DBKK sedikit terganggu,” katanya kepada media di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini kelmarin.
Beliau berkata, penganjuran
program DBKK di kawasan itu juga bukan bertujuan menghalang perhimpunan Bersih
3.0.
Selain itu Hamza berkata,
keadaan perhimpunan Bersih di sini berbeza dengan apa yang berlaku di Kuala
Lumpur yang mana para peserta yang terlibat melakukan rusuhan.
Sehubungan itu, beliau
mengucapkan terima kasih kepada peserta Bersih di negeri ini yang memberikan
kerjasama kepada pihak polis.
Katanya, sempena dengan
perhimpunan Bersih Sabtu lepas, seramai lebih kurang 500 orang peserta terlibat
dengan perhimpunan berkenaan.
“Peserta mulai berhimpunan
seawal jam 11 pagi dan bersurai lebih kurang jam 4.30 petang.
“Tidak ada perhimpunan
dijalankan di kawasan lain melainkan di Tawau dan difahamkan, perhimpunan di
sana juga berjalan dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata, perarakan
dibuat daripada dua lokasi berbeza iaitu Asia City dan Suria Sabah. Mereka
kemudiannya berkumpul di kawasan taman berdekatan Kompleks Mahkamah Kota
Kinabalu.
Hamza turut menjelaskan,
berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana pihak dibolehkan menjalankan
perhimpunan dengan mengikuti undang-undang yang ditetapkan.
Katanya, perhimpunan yang
dijalankan mestilah mematuhi ketetapan undang-undang sedia ada tanpa berlaku
sebarang insiden yang tidak diingini.
Turut hadir, Ketua Polis
Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria. (Utusan Borneo)
No comments:
Post a Comment