Monday 30 April 2012

PENGANJUR BERSIH 3.0 TIDAK TUNAI JANJI





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

PUTRAJAYA menyelar penganjur perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih kerana tidak mengotakan janji mereka sebelum ini yang mengatakan perhimpunan 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka Sabtu lalu akan berlangsung secara aman.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau dimaklumkan penganjur telah berjanji perhimpunan Bersih 3.0 tersebut juga hanya akan berlaku dalam masa yang singkat.

“Majlis Tertinggi (Umno) ambil maklum penganjur berjanji perhimpunan akan berlaku dalam situasi yang aman dan tempoh masa yang singkat.

“Tapi janji mereka tidak ditunaikan. Kerajaan kesal kekasaran telah berlaku, dan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah,” katanya di Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lewat malam tadi.

Menurut pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, peserta demonstrasi juga tidak menghormati 'prinsip rule of law' apabila mereka merempuh halangan yang dibuat pihak berkuasa dan menyerang anggota polis.

“Majlis tertinggi Umno amat kesal bahawa kekasaran telah berlaku, mereka telah tidak menghormati keputusan mahkamah, dan “prinsip rule of law” diketepikan mereka dengan menyerang pihak berkuasa dan merempuh halangan yang didirikan.

“(Ini) menunjukkan budaya keterlaluan yang ganas dilakukan mereka yang terlibat,” katanya yang tidak menolak hanya sebahagian peserta sahaja yang bertindak ganas terhadap anggota polis yang bertugas.

“Bukan semua peserta itu bertindak ganas, tetapi kesudahan demonstrasi itu mencemarkan perhimpunan aman dan mencalar imej negara kita.

“Pihak polis yang menjadi mangsa. Mereka akan menjadi sasaran dan dipukul,” tegasnya lagi.

Tambah Najib, kerajaan juga akan memaparkan situasi sebenar yang akan berlaku sewaktu perhimpunan tersebut ekoran terdapat sesetengah pihak cuba memenangi “public opinion” dengan menghuraikan tangkapan ke atas perusuh.

“Kerajaan juga ambil maklum, melalui polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan memaparkan apa yang berlaku.

“Ada pihak tertentu yang cuba memenangi public opinion dengan menghuraikan tangkapan ke atas mereka, sama ada benar atau separuh benar, tetapi mereka ingin memaparkan dalam media sosial dan internet untuk mempengaruhi sikap masyarakat antarabangsa melalui media.

“Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memaparkan kejadian sebenar yang berlaku,” tegasnya lagi.

Perdana menteri itu turut menjelaskan alasan kerajaan tidak membenarkan penganjur menggunakan Dataran Merdeka untuk perhimpunan mereka.

“Demonstrasi jalanan mengandungi dua unsur, iaitu akan ada anggota yang ekstremis, dan yang suka membuat kekacauan.

“Ambiga (Pengerusi Bersama Bersih) sudah mengaku beliau tidak mampu mengawal keadaan. Itu diburukkan lagi dengan 'mock psikologi' yang mempengaruhi orang biasa, mereka yang tidak melakukan apa-apa pun boleh bertindak ganas.

“Sebab itu kerajaan tidak memberi kebenaran menggunakan Dataran Merdeka, kerana ia tapak ikon bersejarah, kita sangsi motif pihak yang akan menggunakan kumpulan mereka untuk tujuan politik, ada cadangan untuk mereka menguasai Dataran Merdeka secara berterusan,” jelas Najib.

Lebih 25,000 perusuh disuraikan anggota polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata selepas beberapa perusuh mula menceroboh kawasan Dataran Merdeka dan menyelamatkan diri ke bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam insiden Bersih 3.0 kelmarin.

Sebahagiaan 15,000 tersepit antara polis dan DBKL memecahkan halangan dan bergerak ke Dataran Merdeka, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah cuba berunding dengan polis, yang menggesa Ahli Parlimen Gombak itu menenangkan perusuh. Namun, mereka berdegil menceroboh kawasan dataran walaupun telah dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan sekitar DBKL, berhadapan Jalan Parlimen, dan bergerak ke arah perusuh yang cuba mencari perlindungan dan dihalau ke Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Berang dengan tindakan itu, perusuh kemudiannya menyerang kereta pihak polis yang kemudiannya melanggar sekurang-kurangnya dua perusuh ketika cuba melepaskan diri.

Walaupun majoriti perusuh bersurai, sekumpulan 1,000 perusuh kemudiannya mencabar polis berhampiran Masjid Jamek.

Seorang anggota polis dilihat mengheret seorang lelaki yang mana mengakibatkan perusuh menyerangnya dengan membaling botol air dan kepingan konkrit.

Konvoi polis bersama Datuk Bandar KL Tan Sri Ahmad Fuad Ismail terpaksa melakukan pusingan U di Masjid Jamek apabila kumpulan perusuh membaling kasut, dan kepingan konkrit ke arah mereka yang menyebabkan cermin dua kereta itu pecah.

Bersih turut berkata, 460 perusuh ditahan polis, kurang satu per tiga daripada perhimpunan 9 Julai tahun lalu.

Antara yang terakhir dibebaskan menurut ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah, adalah Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, yang dibebaskan jam 5 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment