Wednesday 11 April 2012

BARANGAN BERSUBSIDI KE SEBATIK MENCUKUPI


BEKALAN barangan bersubsidi terutama keperluan harian penduduk Pulau Sebatik mencukupi dan tidak timbul soal putus bekalan, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Tawau, Mohd Fikri Lai Abdullah.

Beliau berkata edaran barangan perlu seperti Beras Nasional, gula pasir dan minyak masak melalui 26 'Point of Sales (POS) dan edaran diesel dan petrol melalui empat POS di pulau berkenaan untuk memenuhi permintaan penduduk sudah agak merata.

Mohd Fikri bagaimanapun berkata edaran gas memasak (LPG) yang dipertanggungjawabkan kepada dua syarikat pengangkut belum merata di pulau itu kerana bilangan POS untuk barangan itu kurang menyebabkan ramai penduduk sukar mendapat bekalannya.

"Daripada 92 peruncit berlesen di Pulau Sebatik, ramai yang belum memohon permit menjadi POS. Kalau tidak menjadi POS, peruncit berkenaan tidak boleh dibekalkan dengan barangan bersubsidi. Syarat untuk menjadi POS ialah mesti ada lesen runcit dan secara fizikalnya memiliki kedai runcit," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Mohd Fikri berkata demikian ketika mengulas isu konnonya berlaku masalah putus bekalan barangan runcit ke pulau berkenaan sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pengguna dan peruncit di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama dan pegawai KPDNKK ke beberapa POS di Pulau Sebatik hari ini termasuk di Kampung Tanjung Sima, Sungai Melayu, Kampung Bergosong, Sungai Tongkang dan Kampung Mentadak Baru mendapati barangan perlu banyak terdapat di kedai-kedai runcit, demikian juga dengan minyak diesel dan petrol.

Tinjauan juga mendapati peruncit yang tidak mendapat bekalan gas memasak belum memohon menjadi POS untuk gas petroleum cecair berkenaan.

Mohd Fikri menasihatkan peruncit-peruncit berlesen di Pulau Sebatik supaya mengemukakan permohonan bagi mendapatkan permit POS bagi membolehkan mereka mendapat bekalan LPG daripada dua syarikat pengangkut barangan itu.

Pada Mac lalu, KPDNKK telah menguatkuasakan peraturan yang tidak membenarkan peruncit-peruncit dari Pulau Sebatik membeli barangan bersubsidi terus daripada pemborong di tanah besar Tawau sebaliknya mesti mendapatkan barangan berkenaan daripada empat syarikat pengangkut yang dilantik oleh kerajaan.

Kos pengangkutan untuk membawa barangan bersubsidi oleh syarikat berkenaan kepada peruncit-peruncit di Pulau Sebatik seterusnya kepada pengguna ditanggung oleh kerajaan.

Peraturan berkenaan dikuatkuasakan berikutan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga barangan bersubsidi bagi memastikan barang keperluan di Pulau Sebatik dijual pada harga yang sama dengan harga di tanah besar Tawau dan pada masa yang sama mengawal barang bersubsidi diseludup ke negara jiran.

Mengikut peraturan itu, kuota gula pasir yang boleh dibawa ke Pulau Sebatik setiap bulan ialah 15 tan metrik, minyak masak (15 tan metrik), Beras Nasional (20 tan metrik), tepung gandum (6 tan metrik), diesel/petrol (40,000 liter) dan LPG (700 tong).

"Penduduk Pulau Sebatik masih boleh membeli barangan bersubsidi di tanah tanah besar Tawau namun hanya untuk kegunaan sendiri dan pada jumlah yang munasabah," kata Mohd Fikri. (Bernama)

No comments:

Post a Comment