Tuesday 3 April 2012

PASTI LAHIRKAN PELAJAR CEMERLANG DAN BERBAKAT



Oleh : MOHD FIRDAUS M.N

PUSAT Asuhan Tunas Islam (Pasti) di negeri ini memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar-pelajar dan generasi muda yang cemerlang bukan sahaja melalui bidang akademik malah mempunyai fizikal yang utuh dan bakat yang cemerlang dalam bidang sukan.

Pengarah Pasti negeri, Lahirul Latigu berkata, bidang sukan turut memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan dan potensi para pelajar. Sukan dan akademik tidak boleh dibiarkan berasingan malah perlu digandingkan bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tapi mempunyai kekuatan fizikal dan stamina yang kuat.

"Kita mahukan pelajar Pasti mempunyai satu keupayaan yang amat memberansangkan bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malah mempunyai bakat dan stamina yang kuat juga dalam bidang sukan,” ujarnya.

Menurutnya, prestasi Pasti kini sudah mula mendapat tempat dihati masyarakat dan kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang mahu melihat kejayaan Pasti pada masa akan datang.

“Masyarakat sudah mula melihat kejayaan Pasti. Sudah tentulah kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang tidak jemu-jemu berusaha dan memikirkan bagaimana mahu melihat potensi Pasti ini maju ke hadapan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukaneka Pasti Kawasan Sepanggar di Stadium Likas, dekat sini pagi tadi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi Pasti Sepanggar, Azman Talib; Pengarah program kejohanan, Fanshuri Badaruddin; guru-guru Pasti, ibubapa dan para pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Pasti Sepanggar, Azman Talib berkata, terdapat 9 buah Pasti yang terlibat dalam kejohanan sukaneka pada tahun ini. Antara Pasti yang terlibat adalah Pasti al-Amin (Taman Millenium, Kingfisher), Pasti al-Islah (Kg. Lobou, Menggatal), Pasti al-Najah (Taman Kuala Menggatal), Pasti as-Solihin (Taman Putera Jaya, Telipok), Pasti as-salam (Taman Khidmat, Kolombong), Pasti Khalifah Kids (Putera Perdana, Telipok), Pasti al-Qayyum (Universiti Appartment), Pasti Bandar Siera dan Pasti Tuaran.

“Acara dimulakan dengan perbarisan dan lintas hormat serta bacaan ikrar pelajar Pasti. Sebanyak 8 acara telah dipertandingkan yang melibatkan lebih 350 pelajar dari sembilan buah Pasti di kawasan Sepanggar ini.

“Antara acara yang dipertandingkan adalah bawa bola ping pong, isi air dalam botol, lari dalam guni, lari berganti-ganti dan tarik tali,” katanya.

Menurutnya, kejohanan sukaneka pada tahun ini dimeriahkan dengan dihadiri oleh ibubapa dan keluarga pelajar.

“Acara untuk ibubapa juga disediakan bagi meraikan kehadiran mereka. Bagi kaum ibu, kita mengadakan acara melipat pakaian manakala kaum bapa pula dengan acara tarik tali.

“Bagi kanak-kanak selain pelajar Pasti pula, kita mengadakan acara mewarna bagi menarik penyertaan peserta,” jelas Azman.

Menurutnya , sungguhpun cuaca agak panas pelajar Pasti yang menyertai sukaneka ini tetap menunjukkan semangat dan kesungguhan yang tinggi ditambah dengan sokongan ibubapa yang hadir memeriahkan suasana.

Pasti al-Islah, Kg. Lobou dekat Menggatal telah dinobatkan selaku juara keseluruhan Kejohanan Sukaneka Pasti Kawasan Sepanggar pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Pasti Kota Belud, Jumat Sakmat juga turut mengalu-alukan sumbangan dan dana sama ada dari orang perseorangan, badan berkanun, badan korporat dan orang ramai bagi Dana Wakaf Bangunan Pasti al-Firdaus, Kota Belud. Sumbangan tersebut bolehlah disalurkan terus menerusi akaun AgroBank Pasti al-Firdaus 100-1941-0000-53319 atau hubungi 019-8096640 (Fauzi).

No comments:

Post a Comment