Saturday 7 April 2012

REGATTA MEGA LEPA-LEPA 2012


PERANCANGAN….Hj Hisham sedang menerangkan perancangan pihaknya berhubung Regatta Lepa-Lepa 2012.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto: SYAHADAH YAHYA

SAMBUTAN Majlis Pesta Air Regatta Lepa Ke 19 akan diadakan secara besar-besaran di daerah Semporna selama 3 hari berturut-turut, bermula dari 20 hingga 22 April 2012.

Mesyuarat pembentukan Jawatankuasa Pelaksana Pesta Air Regatta Lepa 2012 telah telah diadakan pagi kelmarin di Pejabat Parlimen Semporna dan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Kepada Ahli Parlimen Semporna Hj Hisham Hj Abdul Fattah yang secara atomatik dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa pelaksana majlis tersebut.

Seramai 30 orang yang turut menghadiri mesyuarat yang berjalan lebih 2 jam itu mereka adalah terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan termasuk ketua-ketua NGO antara lain membincangkan beberapa atur cara sebagai acara kemuncak pada pesta itu nanti.

Hj Hisham berkata program ini sebenarnya akan bermula pada 8 April ini sebagai aktiviti permulaan di peringkat ADUN dan peringkat kampung yang merangkumi pelbagai aktiviti yang diketengahkan antaranya pelaksanaan tapisan pemilihan Ratu Lepa peringkat Zon /ADUN.

Seminar Regatta Lapa yang bakal di rasmikan oleh Naib Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Sri Hj Mohd Shafie Hj Apdal merangkap Ahli Parlimen Semporna bertempat di Dewan Sambulayang, Sea Fest Hotel, Semporna.

Kata Hj Hisham, banyak lagi aktiviti yang bakal diketengahkan yang membabitkan seni budaya etnik kaum suku Bajau antaranya promosi makanan tradisional Bajau Semporna dan Karnival Pendidikan.

Acara baru yang akan diperkenalkan kali ini ialah Kolokium Sukau Bajau yang pelancarannya akan disempurnakan oleh Yang Di Pertua USIA Sabah, Tun Hj Sakaran Dandai; sementara penutupannya oleh ADUN Bugaya, Datuk Hj Ramlie Marhaban.

"21 April merupakan malam acara kemuncak pelancaran Pesta Air Regatta Lepa Semporna 2012 akan di rasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Hj Mahirudin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman yang juga tetamu kehormat pada malam itu,” jelas Hj Hisham kepada Wartawan Kanan Sabahkini.Net dalam satu wawancara khas sejurus selepas mesyuarat tersebut.

Katanya lagi, tujuan mengadakan pesta air regatta ini adalah untuk memperkenalkan seni budaya etnik suku kaum Bajau Semporna dalam serba serbi mengenai adat resam dalam kehidupan seharian kepada masyarakat setempat sama ada di Sabah, Semenanjung bahkan juga kepada para pelancong asing dan tempatan.

AJK...Hj Hisham bergambar dengan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pesta Air Regatta Lepa Semporna 2012.

"Dari itu saya harap masyarakat di daerah Semporna agar dapat menyokong usaha-usaha murni kerajaan dalam menjayakan bagi merealisasikan kebudayaan tanah air yang menjadi warisan turun menurun bagi kaum Bajau, khususnya di Semporna agar tidak pupus ditelan zaman,” ujar Hj Hisham.

Pesta yang ke 19 kali ini dijangka akan dihadiri lebih 50,00 ribu orang bukan saja datangnya dari Sabah bahkan dari seluruh pelusuk negara ini, termasuk kunjungan para pelancong luar. Program ini menjurus memberikan peluang kepada usahawan di daerah ini untuk menjana pendapatan lumayan sepanjang pesta tersebut,” ujar Hj Hisham.

No comments:

Post a Comment