Wednesday 11 April 2012

SINDIKET DADAH GUNA KURIER TUMPAS



POLIS Lahad Datu berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup masuk dadah ke daerah ini menggunakan taktik khidmat kiriman kurier, ekoran penahanan seorang wanita tempatan dan merampas dadah seberat 76.65 gram yang dianggarkan bernilai RM25,000, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin Mat berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan perumahan di sini, pada kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah ini.

“Bertindak hasil maklumat awam, sepasukan anggota JSJN telah membuat risikan dan intipan di lokasi tersebut.

“Kira-kira 10 minit kemudian, sebuah van perkhidmatan kurier telah berhenti dirumah berkenaan sebelum seorang wanita dilihat keluar dan menerima satu bungkusan kotak daripada pemandu van yang kemudian beredar dari situ,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.

Sejurus selepas itu katanya, pasukan terbabit telah bertindak membuat serbuan ke rumah tersebut dan menahan wanita berkenaan yang masih memegang kotak bungkusan kiriman kurier itu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pada bungkusan tersebut, pasukan JSJN telah menemui dua paket besar plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih berwarna putih dadah jenis Syabu masing-masing seberat 26.32 gram dan 50.33 gram.

“Paket dadah itu juga turut disimpan dalam satu kotak berwarna ‘Maroon’ bertulis N9 dan dibungkus menggunakan kertas aluminium dipercayai bagi menggelak dari dikesan oleh pihak berkuasa,”katanya.

Mengulas lanjut Shamsudin berkata, pihaknya sebelum ini juga telah lama membuat intipan mengenai kegiatan tersebut yang akhirnya membawa kepada kejayaan tangkapan dan rampasan dadah itu.

“Ini merupakan kejayaan kali kedua melibatkan rampasan dadah terbesar di daerah ini dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga tertumpasnya kegiatan ini,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya lagi, wanita terbabit itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (ST)

No comments:

Post a Comment