Sunday 8 April 2012

SUSPEK PECAH MASUK PEJABAT DIBERKAS

Oleh : MOHD NAZIB MACPEE

SEPASUKAN anggota polis daripada Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah masuk pejabat di Fajar Centre, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat, berkata, bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan polis, suspek yang berumur lingkungan 20-an itu berjaya ditahan di hadapan sebuah pasar ikan di sini kira-kira jam 6.35 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat selepas berlaku suspek dikejar sepasukan 10 anggota JSJ yang diketuai oleh Cif Inspektor Ladamah Sulaiman selaku Pegawai Penyiasat Kanan IPD Lahad Datu.

“Maklumat yang kita terima mengatakan suspek memecah masuk sebuah pejabat yang terletak di Lot 30, Jalan Bahagia Fajar Centre dekat sini dan selepas itu menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna emas,” katanya kepada media di sini kelmarin.

Susulan itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengesan kenderaan suspek di kawasan berhampiran dan penemuan itu membawa kepada penangkapan suspek.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang dinaiki suspek turut menemukan pihak polis beberapa barangan yang dicuri termasuklah satu unit pengecas bateri, paip pencuci kereta, bateri ‘backup APC’, satu kotak ginseng jenama Bird’s Nest, dan dua unit pembesar suara jenama Tecom.

“Selain itu, turut ditemui peralatan yang digunakan untuk memecah masuk seperti sepasang sarung tangan, lampu suluh, alat pencungkil dan sepana,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek terbabit, pihaknya percaya ia akan membantu menyelesaikan antara lapan hingga 10 kes yang berkaitan dengan kegiatan sama sekitar Januari hingga April di daerah itu.

Pihaknya yakin dapat memberkas saki-baki rakan suspek yang masih bebas dalam tempoh terdekat ini.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan ujian air kencing, suspek turut disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan juga dikehendaki oleh pihak polis daerah Tawau berhubung kegiatan yang sama. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment