Friday 13 April 2012

TUMPUKAN PEMBELAJARAN AKADEMIK



Oleh: SHAIMON S JUMADI

AHLI Parlimen Libaran Datuk Hj Juslie Ajirol menggesa para ibubapa agar memainkan peranaan ke arah menggalakkan anak-anak mereka supaya menumpukan sepenuhnya dalam menghadapi pembelajaran akademik.

Dari itu anak-anak khususnya para pelajar harus juga memberikan perhatian dan fokus ketika para guru mengajar di dalam kelas demi untuk kejayaan diri mereka masing-masing di masa depan.

Juslie membuat gesaan demikian ketika berucap di majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar di Sandakan, kelmarin.

“Sebagai ibubapa, kita harus mengambil perhatian sepenuhnya terhadap gerak geri anak-anak mereka dan jangan terlalu membiarkan mereka bergaul bebas dengan orang yang tidak senonoh yang boleh terpengaruh dengan perkara-perkara songsang” ujarnya.

Tegas Juslie, mereka boleh berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi harus mencari teman yang boleh membimbing mereka ke arah yang lebih baik; seperti yang suka ke perpustakaan mengulang kaji pelajaran dan teman bersukan.

Juslie menambah sebagai pelajar yang cemerlang, mereka harus merebut segala peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang di sediakan oleh kerajaan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Katanya, masa hadapan mereka yang mempunyai ilmu akademik akan lebih terjamin, terutama yang memegang jawatan tinggi dan bergaji besar untuk merubah kehidupan dan menaiktaraf status sosial keluarga mereka.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman, kata Juslie, memang sentiasa mengambil berat tentang pembelajaran; lantas beliau telah menubuhkan pusat pengajian tinggi iaitu Hub Pendidikan yang kini sedang dalam pembinaannya di Sungei Batang, Batu 10, Jalan Labuk, Sandakan.

No comments:

Post a Comment