Monday 6 May 2013

WALAU TEWAS, TIDAK LUPA JASA PENGUNDI





KUNJUNG......Haji Ghulabdin (kiri) ditemani oleh Mantan Ahli Parlimen Tuaran; Datuk Monggoh Orow (tengah) mengucapkan terima kasih kepada penduduk Tuaran kerana menyokongnya.


OLEH: KREW SABAHKINI.NET

TUARAN : Walaupun Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman; Haji Ghulabdin Enjih yang gagal memenangi kawasan tersebut, namun beliau menghargai sokongan 2,624 rakyat daripada 19,857 yang turun membuang undi kelmarin.

Haji Ghulabdin menyatakan, meskipun beliau kurang bernasib baik kerana tidak memenangi Kawasan Sulaman; namun beliau menghargai kepercayaan pucuk pimpinan PKR Pusat; terutama sekali Ketua Umum parti itu; Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjadi Calon PKR di Kawasan DUN Sulaman.

"Kegagalan memenangi Pilihan Raya pada kali ini adalah dianggap sebagai memberikan banyak lagi peluang kepada saya untuk mempelajari pelbagai taktik berkempen dan sekali gus memberikan pengalaman maha besar kepada saya," katanya ketika ditemui selepas sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 itu selesai diumumkan.

Kawasan DUN Sulaman telah berlaku pertandingan lima penjuru di antara Haji Ghulabdi (PKR), Datuk Haji Hajiji Noor (BN), David Orok (STAR), Haji Ali Akbar Kawi (Bebas) dan Arifin Harith (Bebas).

Keputusan bagi kawasan DUN Sulaman  adalah dimenangi semula oleh Datuk Hajiji Haji Noor (BN) dengan undi sebanyak 13,065  undi; David Orok dari Parti STAR mendapat undi 225 undi; Ariffin Harith (Bebas) memperolehi undi sebanyak 66 undi; Haji Ali Akbar Kawi (Bebas) mendapat 615 undi dan Haji Ghulabdin sendiri dari PKR memperolehi undi kedua terbanyak di kawasan itu sebanyak 2,624 undi.

Menurut beliau, kegagalan memenangi pilihan raya kali ini adalah satu peluang terbaik untuk menilai punca mengapa pengundi tidak memilih beliau dan keputusan tersebut tidak harus memberikan kekecewaan kerana hasil keputusan rakyat itu sudah tentu turut dirasai oleh segenap penyokong PKR yang amat mengharapkan satu perubahan kerajaan baru agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih ikhlas dan telus.

"Saya bersyukur serta dengan hati yang terbuka untuk menerima keputusan penduduk di Kawasan Sulaman yang berharap agar dengan kemenangan BN semula akan memberikan lebih banyak perubahan sejajar dengan harapan Parti PKR supaya kerajaan terus memberikan perkhidmatan lebih telus dan ikhlas," kata Haji Ghulabdin lagi

Menurut Haji Ghulabdin, kegagalan PKR di kebanyakan Kawasan Luar bandar merupakan satu petanda yang rakyat masih lagi merasa takut dengan agenda perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PKR).

Di samping kebanyakan rakyat tidak memahami bahawa banyak kebaikan termasuklah untuk menuntut royalti minyak dari 5% kepada 20% yang ditawarkan oleh PKR jika diberikan peluang memerintah negara ini.

"Namun keputusan telahpun dibuat oleh rakyat. Maka saya berharap pihak kerajaan akan meneruskan usaha pembangunan dan memperkasakan kawasan luar bandar, " kata Haji Ghulabdin yang juga Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN).

No comments:

Post a Comment