Oleh: MAIL MATHEW
HARI pertama menyambut Ramadan di Tenom masih kelihatan hambar namun para peniaga di Bazar Ramadan tetap menyediakan makanan seperti kuih muih dan lauk pauk untuk santapan sekeluarga ketika berbuka puasa.
Sepertimana di musim-musim lepas, kerancakan hanya akan terasa di pertengahan bulan Ramadan iaitu sebaik sahaja pasar itu dibuka kepada pengunjung tepat jam 2 petang dan berakhir kira-kira jam 5.30 petang.
Seorang penjual sayap ayam panggang, Hamisa, 35, menyifatkan jenis perniagaan sayap ayam panggang amat mencabar tetapi memerlukan kesabaran kerana selain berhadapan dengan ragam pembeli yang agak cerewet. Peniaga perlu memahami ramuan dan citarasa pengguna tentang kualiti panggangan dan juga pemberian madu agar tidak berlebihan daripada yang sepatutnya.
“Kita kena beri secukup rasa dan seimbang, kalau tidak alamatlah sayap ayam panggang itu sampai jauh malam pun tidak laris dijual,” tegas Hamisa.
Penjual dan penyedia kuih cucur udang, Noraini Apak, 40, menjelaskan bahawa pengalamannya berniaga kueh pisang dan cucur udang sudah berpuluh tahun lamanya, sudah tentu tidak menghairan mana-mana pihak kelarisan jualannya.
“Apa yang penting, dalam bulan puasa ini kita kena buat agak berlainan sedikit daripada biasa. Kita kena kurangkan sikit minyak dan gula supaya selera makan tidak terganggu,” tegas Nor sebagai panggilan singkat rakan-rakannya.
Begitu juga dengan Mohd Nasir, 31, yang menjaja martabak sayur yang menjadi pilihan perniagaannya kerana mudah dijual dan diminati ramai pembeli, malah kos pembuatannya agak murah sedikit.
“Kami memilih jenis perniagaan martabak sayur kerana bahan-bahannya mudah diperolehi selain peminat makanan ini agak ramai,” tegas Nasir.
No comments:
Post a Comment