Friday, 1 October 2010

PKR CABANG SEMPORNA KINI LUMPUH?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PERISTIWA pemilihan PKR Cabang Semporna yang telah tercemar beberapa hari yang lalu, nampaknya tidak berakhir dengan rampasan kuasa bangunan pejabat PKR cabang semporna pada subuh 26 September 2010 tetapi berakhir dengan kelumpuhan Cabang berkenaan secara mutlak.

Setelah lima hari berlalu keputusan masih ditunggu dari pihak Pusat terhadap insiden yang melibatkan rampasan bangunan tersebut oleh pemiliknya; yang kebetulan juga adalah Ketua Cabang Semporna tetapi turut bertanding dan menghadapi tentangan dari tiga orang calon Ketua cabang serta semua barisan kepimpinannya dicabar.

Pihak kami sempat meninjau pejabat berkenaan pada jam 1.30 petang 30 September 2010 dan mendapati bangunan ini masih terkunci dengan kertas kertas undi masih terdapat di dalamnya tanpa dikira.

Amat mengejutkan petang ini kerana logo dan lambang PKR telah ditanggalkan sebagai mercu tanda lumpuhnya PKR Semporna yang hanya mempunyai Sayap Wanita dan Pemuda namun tidak mempunyai induk atau Cabang.

Parti yang mempunyai keahlian seramai 4,015 orang di Parlimen Semporna ini telah hilang arahtujunya dengan keadaan yang dihadapi sekarang tanpa apa-apa yang hendak dilakukan.

Dengan ketiadaan Barisan Kepimpinan, Pejabat Pentadbiran, Pusat Pengurusan Ahli dan keputusan pihak pusat, maka ini bererti PKR Cabang Semporna telah lumpuh sepenuhnya dan tidak wujud lagi.

PKR Cabang Semporna memerlukan satu halatuju serta bimbingan pusat bagi memulihkan kedudukannya supaya dapat digerakkan semula dan hendaklah memastikan para ahli PKR di kawasan itu dapat disusun semula bagi memantapkan perjuangan parti.

Jesteru itu PKR Semporna memerlukan satu ‘Reformasi Besar-Besaran’ dan adalah dicadangkan supaya pihak pusat dapat berbuat sesuatu serta melantik semula Penaja Baru bagi memantapkan perjuangan PKR di kawasan berkenaan.

Bagi maksud ini pihak PKR dan MPN Sabah tidak memerlukan lagi sesuatu tindakan yang drastik yang hanya akan menyebabkan PKR Cabang di kawasan ini menjadi rumit, cadangan Pengantungan sementara adalah jalan keluar yang paling baik dan memilih barisan penaja yang lebih mantap juga sangat diharapkan oleh semua pihak dan ahli di kawasan ini.

Tindakan menyelesaikan kemelut pertandingan baru-baru itu sudah tidak bermakna lagi, hatta jika satu pertandingan dijalankanpun, tidak akan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

PKR Semporna harus ditubuhkan semula melalui Badan Penaja bagi memantapkan terlebih dahulu kedudukan PKR cabang ini yang telah lumpuh dengan serta merta setelah mantan ketuanya bersama semua barisan kepimpinannya dilihat sudah menderhaka kepada parti dan tidak berminat lagi untuk memimpin terus barisan PKR di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment