Friday, 15 October 2010

ANAK JATI SANDAKAN PENGECUT?



Saudara Pengarang,

SELAKU Ketua Biro Sabahkini.Net Wilayah Sandakan memohon izin daripada Ketua Edtitor untuk menggunakan sedikit ruang portal ini untuk menjawab satu artikel yang bertajuk ‘Semua YB Di Sandakan Makan Gaji Buta’ karya penulis yang menggelarkan dirinya sebagai “’Anak Jati Sandakan’ (AJS) yang tersiar di laman web sabahkini.net.

Dalam hubungan ini, saya tidak bermaksud untuk membela atau mahu ‘angkat kaki’ mana-mana Wakil Rakyat dan juga Ahli Parlimen yang meliputi daerah Sandakan yang dikutuk habis-habisan; kerana beliau mendakwa semua YB makan gaji buta; atau lebih jelas tidak buat kerja selama mereka memegang dan bergelar Yang Berhormat.

Sebagai wartawan, saya benar-benar rapat dengan Datuk Hj Samsudin Yahya (ADUN Sekong) dan juga saya adalah Setiausaha Akhbarnya. Begitu juga dengan YB Au Kam Wah (ADUN Elopura), Datuk HJ Zakaria Hj Edris (ADUN Gum-Gum), YB Masiung Bana (ADUN Tongod) dan Datuk VK Liew (Ahli Parlimen Sandakan).

Kelima-lima orang yang bergelar YB ini memang rapat kerana setiap kali mereka mengadakan aktiviti, saya sentiasa bersama-sama mereka; sekaligus menepis dakwaan liar AJS, kononnya mereka tidak menjalankan tugas untuk rakyat.

Tuduhan dan andaian AJS tidak tepat. Kadang kala, sebagai wartawan saya rasa penat. Hampir-hampir tidak larat untuk menjalankan peranan saya sebagai wartawan kerana terlalu sibuk ikut dengan YB-YB berkenaan untuk membuat pelbagai liputan mengenai aktiviti-aktiviti mereka.

Sebenarnya bukan kesemua YB yang didakwa makan gaji buta dan tidak menjalankan tugas untuk membangunkan daerah Sandakan, sebaliknya AJS yang buta terhadap pembangunan atau kabur-kabur berhubung tugas dan tanggung jawab sebenar seorang YB atau Wakil Rakyat.

Jika AJS pergi ke Pulau Bambangan atau ke Tongod, Sukau, Beluran dan Nangoh, AJS boleh melihat sendiri dengan mata kepala keadaan jalan rayanya. Andai kata duit lima sen terjatuh, masih kelihatan dan mudah kita pungut. Kawasan-kawasan yang disebutkan itu banyak berubah, lebih jauh berbanding 15 tahun yang lalu.

Pembangunan boleh dikatakan tumbuh macam cendawan. AJS tidak nampakkah semua pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan BN di Pusat Bandar Sandakan telah menjadi kenyataan ketika AJS masih lagi bermimpi?

Saya menyifatkan tuduhan AJS kebudak-budakan dan tidak pandai menilai. Saya tahu mungkin AJS tidak mendapat bantuan daripada semua YB yang disebutkan. Mungkin jika YB-YB berkenaan memberi apa saja bantuan, sudah tentu AJS memuji-muji mereka.

Kalau benar-benar mereka, khususnya YB-YB berkenaan tidak pandai buat kerja untuk pembangunan, maka sayalah orang pertama yang akan membelasah mereka kerana saya menjalankan Visi Sabahkini.net; ‘Membongkar Kebenaran dan Mempertahankan Kejujuran’.

Oleh kerana saya Nampak dengan mata kepala saya sendiri bahawa mereka memang bekerja untuk rakyat dan juga kesejahteraan Negara, khususnya kawasan-kawasan yang diwakilinya; maka saya tidak tergamak untuk membelasah mereka.

Saya juga hairan kenapa AJS terlalu memuj-muji YB Saddi (ADUN Sukau) dan mengutuk YB-YB yang lainnya. Kelihatan AJS tidak berlaku adil. Mungkin juga AJS dapat projek di kawasan Sukau daripada YB Saddi Abdul Rahman maka AJS membanding-bandingkan antara peranan YB Saddi dengan peranan ADUN-ADUN lain.

Gunakanlah nama betul, bukan nama samaran kalau AJS betul-betul berani. Jangan lempar batu sembunyi tangan. Biarlah menjadi warganegara yang beradat dan bertanggung jawab dan menegur dengan cara terhormat!.

Salam Hormat,

SHAIMON S JUMADI-BSK

Ketua Biro Sabahkini.Net WILAYAH SANDAKAN

No comments:

Post a Comment