Thursday 7 October 2010

BAHASA MANIFESTASI CITRA MALAYSIA 




INGATAN KASIH...Datuk Nasir (kanan) disaksikan Datuk Mohd.Ariffin Arif (dua kiri) dan Zubaidi Abas (kiri) menyampaikan Cenderakenangan kepada Tan Sri Jins Shamsuddin (tengah) sempena majlis tersebut di DBP Cawangan Sabah.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.

Katanya, ini selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 yang menyatakan langkah-langah memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Sehubungan itu Musa juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan paparan dan peragaan papan iklan; papan tanda; nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan serta persekitaran memaparkan latar dan panorama bercitrakan Malaysia.

"Perkara ini sebenarnya selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan.”

Sehubungan itu katanya, kementerian yang berkaitan hendaklah memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insuran menggunakan bahasa kebangsaan selain bahasa inggeris dalam dokumen rasmi, papantanda dan borang-borang demi kepentingan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan.

Ini katanya, adalah sebagai tanda dan bukti sokongan terhadap kempen Bulan bahasa Kebangsaan.

"Kita yakin jika semua pihak mengambil inisiatif bersama dalam menjayakan kempen murni ini, usaha bagi memartabatkan kembali bahasa kebangsaan akan dapat dilakukan dengan lebih berjaya," kata Musa.

Datuk Seri Musa berkata demikian sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat Negeri Sabah, anjuran Dewan Bahasa & Pustaka Cawangan Sabah.

Teks ucapannya disampai baca oleh Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.

Hadir sama sempena majlis itu, Pengerusi SEDCO, Datuk Haji Mohd.Ariffin Hj Mohd Arif; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Haji Nordin Siman selaku wakil kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Bulan bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat Negeri Sabah; Senator Tan Sri Dr. Jins Shamsudin; Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka Cawangan Sabah, Encik Zubaidi Abas; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi Datu Sulai; Pengarah Kastam & Eksais Di Raja Malaysia, Janathan Binbang; Pegawai Daerah Semporna, A.M.Inu A.K.Baba; Setiausaha sulit Menteri DJKM, Haji Yahamad Budin serta golongan penulis, aktivis bahasa dan karyawan sastera.

Datuk Musa berkata, dalam usaha memantapkan, memperkukuh dan memanifestasikan jati diri dan citra bangsa Malaysia yang cemerlang melalui penghayatan terhadap bahasa kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan diharap mendapat sambutan yang baik daripada seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan latar bahasa serta menyedarkan semua akan peri pentingnya kita mempertahankan Perkara 152 Perlembagaan Negara.

Majlis pelancaraan Bulan bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan telahpun dilaksanakan pada 05 Oktober lalu di Negeri Perak.

1 comment:

  1. Selagi hayat dikandung badan,bahasa kita tetap diperjuangkan...email berita dan gambar tetap dihantar walaupun sabahkini.net selalu ditampar dan diterajang...dont't give up!

    ReplyDelete