Sunday, 10 October 2010

DUA KEMALANGAN DALAM SATU MASA



GELIMPANG….Mayat mangsa yang bergelempangan di atas jalan raya berlatar belakangkan kenderaan yang terbalik dan remuk.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

Foto: JUN PACIFICO

SIKAP sesetengah pemandu bas awam yang suka memandu laju melebihi had yang ditetapkan dan cuai ketika memandu menyebabkan berlaku kemalangan yang meragut jiwa serta menjadikan kenderaan awam tidak selamat dinaiki kerana berisiko tinggi.

Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan risiko nyawa para penumpang, maka lebih ramai rakyat Malaysia mati di atas jalan raya daripada medan perang.

Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan bulat-bulat kepada pemilik bas kerana mereka telah menggaji seorang pemandu, tetapi disebabkan pemandu mahu cepat sampai ke destinasi yang ditujui, maka mereka memandu begitu pantas dan boleh membahayakan bukan saja kepada dirinya sendiri; bahkan kepada penumpang yang menaiki basnya.

Teori kemungkinan kebarangkalian yang dirumuskan oleh Jabatan Keselamatan Jalanraya (JKJR) ini akhirnya terbukti melalui dua kemalangan ngeri dalam masa yang sama tetapi di lokasi yang berasingan.

Kemalangan pertama berlaku di KM 30 Lahad Datu melibatkan sebuah bas kepunyaan SIDA nombor plat WFV 9012 yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu kira-kira jam 9.30 malam.

Menurut seorang penumpang yang meminta namanya dirahsiakan, disebabkan dipandu terlalu laju sehingga hilang kawalan, akhirnya terbabas sebelum terbalik sebanyak dua kali. Ramai mangsa dilaporkan cedera, namun tiada kematian dilaporkan.

Jurugambar Sabahkini.Net yang secara kebetulan melalui jalan yang sama terserempak kemalangan tersebut dan berjaya merakamkan beberapa gambar.

Manakala satu lagi kemalangan yang melibatkan dua kenderaan Pacuan empat roda yang bertembung arah bertentangan di Kilometer 100, Jalan Kibatangan berlaku kira-kira jam 10.23 malam ini telah menyebabkan lebih daripada satu jiwa melayang.

Jurugambar Sabahkini.Net yang juga secara kebetulan berada di tempat kejadian sempat mengambil gambar tetapi tidak sempat bertanyakan punca kemalangan tersebut ini kerana beberapa anggota polis dan juga anggota Bomba sibuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berkenaan.

2 comments:

  1. gambar pertama melibatkan seorang nyawa lelaki bernama Mr Michael Jolson Mangalis. Meningalkan 5 orang anak (seorang masih bersekolah lagi). Siasatan buat masa ini belum lagi dikemukakan kepada pihak keluarga mangsa. Harapan untuk membawa pemandu yang cuai kemuka pengadilan. Yang Benar Ronnie Johnson

    ReplyDelete