Saturday, 2 October 2010

‘HAPPY BIRTHDAY’ ATAU ‘INNALILLAH’?



Oleh : MUTALIB M.D

“YA Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang menguasai semesta alam dan Tuhan kepada segala kerajaan di dunia. Matikanlah aku dalam keadaan beriman di saat ini jika kematian itu baik bagiku. Hidupkanlah aku dalam keadaan sedar akan kebesaranmu dengan penuh hidayah dan rahimmu memberkati perjuanganku yang maha kecil ini untuk membela tanah airku tercinta; tempat tumpah darah isteri dan anak-anakku untuk menentang kezaliman dan kekufuran manusia yang menafikan zat dan rahmatmu. Amin-amin ya Rabbal Alamin.”

Demikianlah doa ringkas saya sebagai menyambut ulang tahun kelahiran saya yang ke 48 pada selepas solat subuh tadi dan diulang lagi pada solat Zuhur untuk mendapat berkat setelah mendirikan solat istikharah malam tadi.

Jika tidak kerana ayat pertama Al-Quran, Iqra’, saya mungkin telah menggantung pena dan menurut kemahuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media untuk menutup Laman Web Sabahkini.net.

Saya agak terkilan kerana seorang pemuda berbakat di Lahad Datu, anak seorang Mantan OCPD iaitu Irwan Idris Jikon telah menyiarkan wajah saya berhidung 'Khinzir' di blognya, Sabahdaily.net dan menghina saya sebagai penipu dan penjual khinzir. Apa dosa saya kepada keluarganya? Semoga Allah insafkan Irwan dan harap dia dapat berhadapan secara Gentlemen dan bukannya pengecut seperti 'bapanya' yang diabkan di sebuah Karaoke di Lahad Datu kerana terjebak dengan Skandal Seks.

Namun setelah sembahyang istikharah, saya meneruskan perjuangan di bidang ‘myra’ (siber) sekalipun secara bersendiri kerana saya yakin di luar sana ramai yang menyokong perjuangan saya, sekalipun dalam senario ‘malu tetapi mahu’.

Apakah yang hendak dibaca oleh warga Sabah sekiranya Sabahkini.net dimansuhkan dan hanya bergantung kepada media arus perdana dan blog yang bersifat peribadi; berbanding Sabahkini.net yang terbuka, malah dibukakan untuk semua pihak; asalkan bernama manusia atau mahu dimanusiakan dengan akal manusia?

Saya terkesima dan terkedu mengenangkan betapa saya akan terus menjadi lilin membakar diri untuk menerangi kehidupan lain dan terpaksa menolak pelbagai tawaran kerja daripada pelbagai pihak yang bergaji lumayan mengalahkan menteri.

Ketika memperjuangkan hak rakyat Sabah yang belum mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan, saya terjerat oleh peraturan imigresen sekalipun seluruh keluarga saya memiliki kad pengenalan yang mempunyai ‘H’ namun huruf ‘H’ dihilangkan daripada MyKad saya atas masalah teknikal kerana JPN tidak menyimpan data Taraf Penduduk Tetap yang diperolehi keluarga kami pada 1974.

Jabatan Imigresen pula seperti Jabatan Kitar Semula kerana mungkin telah memusnahkan semua dokumen penduduk tetap sehingga mereka tidak dapat menjawab surat permohonan saya memohon dibekalkan salinan Taraf Penduduk Tetap bagi membolehkan saya memasukkan kembali huruf keramat ‘H’ sebagaimana JPN begitu bermurah hati memberi huruf ‘H’ kepada pendatang asing tanpa izin yang diberikan kad pengenalan projek.

Ketika memperjuangkan nasib pegawai kerajaan tertindas oleh karenah birokrasi, saya terlupa masalah yang dihadapi isteri saya yang dianiaya majikannya dengan memberikan markah SKT yang terlalu rendah, sehingga permohonannya untuk mendapat cuti belajar separuh gaji tidak dapat diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan mungkin terpaksa kembali bekerja atau meletakkan jawatan jika cuti belajar tanpa gaji tidak diluluskan kelak.

Mengikut undang-undang, pegawai atasan dan pengarah jabatannya boleh diambil tindakan ‘mandamus’ kerana secara jenayah dan malafide telah melakukan perbuatan khianat terhadap kerjayanya dengan memberi markah ‘gila babi’ sehingga beliau dinafikan segala hak; walhal beliau telah berkhidmat dengan baik dan penuh tanggung jawab kerana mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang dan tidak ada sebarang rekod tindakan disiplin di dalam buku perkhidmatannya.

Semoga Allah yang maha kuasa menurunkan hukuman dan kisasnya di dunia kepada pegawai dan pengarahnya yang khianat terhadap beliau kerana doa mereka yang teraniaya akan terus sampai ke sidratul muntaha dan dimakbulkan Tuhan azzawajalla.

Tiba-tiba sahaja saya merasakan ingin menjadi seperti warganegara Amerika kerana sudah pastinya Kerajaan Malaysia tidak boleh berbuat sesuka hati ke atas saya dan isteri saya. Siapa yang boleh diharapkan oleh mereka yang teraniaya seperti isteri saya dan jutaan rakyat Sabah yang lain?

Apa yang dibela oleh pemimpin Sabah dan Malaysia kalau bukan jawatan dan perut mereka sendiri. Mana mungkin mereka akan mendengar rintihan dan rasa sakit hati rakyat yang ditindas polis, ketua jabatan dan pihak berkuasa setiap hari.

Puluhan ribu kakitangan wanita di Malaysia yang terpaksa menyerahkan kehormatan diri kepada pegawai penilai yang menagih seks sebagai upah untuk memberi markah prestasi (SKT) yang baik; jika enggan maka markah yang diberi seperti markah yang diterima isteri saya, lebih buruk daripada pemandu atau pencuci tandas.

Apakah pemimpin Sabah dan Malaysia pernah ambil peduli berapa ramai gadis Melayu yang dirobek-robek kehormatannya dan diperlakukan seperti binatang oleh lelaki hidung belang dan VVIP di Malaysia? Kenapa pemimpin Sabah diam sahaja apabila umat wanita Islam ditindas sehingga terpaksa memegang babi atau dipaksa makan babi ketika bekerja di restoran Cina?

Pernahkah ada dalam sejarah Ketua Menteri Sabah dan pemimpin Sabah yang benar-benar membela rakyatnya? Bilakah Kerajaan negeri Sabah mahu ‘bail-out’ dua rakyat Malaysia yang diculik daripada Terumbu Karang Sebangkat di Semporna dan kini ditahan Jolo Filipina kerana keluarga mangsa tidak mempunyai wang yang cukup untuk menebus ahli keluarga mereka yang diculik?

Persoalan-persoalan ini yang berlegar di minda saya sejak semalam, begitu menyayat hati kerana setelah 47 tahun Sabah merdeka, Negara Malaysia yang mengaku sebagai Negara Islam masih belum mempunyai Akta Halal. Bukan sahaja makanan yang dijual di restoran Melayu tidak halal kerana menggunakan barang yang tidak halal termasuk cara penyediaan makanan yang masih berdarah, apatah lagi dijual di restoran bukan Islam.

Jika makanan di Malaysia tidak halal dan Sijil Halal Jakim boleh diperdagangkan, maka makanan yang tidak halal memasuki tubuh dan sistem penghadaman umat Islam sehingga melahirkan insan yang tidak berjiwa manusia. Bagaimana mahu mengambil tindakan jika tidak ada Akta Halal?

Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang menyelewengkan harta dan wang umat Islam sehingga menyebabkan semua umat Islam di Sabah berkongsi dan menanggung dosa yang mereka tidak buat; terutama setelah tanah USIA dijadikan Pusat Maksiat atas tiket 1Borneo!.

Jika di zaman ‘Sumpah Semerah Padi’, sepatutnya Presiden USIA, Tun Sakaran Dandai dihukum gantung sampai mati kerana gagal menjalankan tugas menjaga dan mentadbir urus USIA dengan baik; terutama 10,000 hektar konsesi balak yang dianugerahi Al-Marhum Tun Mustapha kepada USIA. Lebih dasyat dan Tun memalsukan keterangan dirinya daripada seorang Tidung Bolongan menjadi ‘Bajau’ sehingga dapat memegang jawatan awam dan politik termasuk TYT.

Saya terpaksa kembali bertugas menentang kezaliman dan petualangan yang dilakukan pemimpin terdahulu terutama yang telah memberikan kerakyatan secara tidak sah kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah kerana jumlah mereka kini sudah melebihi rakyat tulen Sabah sehingga mendominasi politik (undi) dan ekonomi Sabah.

Jika Israel menggunakan tangan Militan Falangis yang beragama Kristian untuk membunuh ratusan ribu umat Islam di Sabra dan Shatila dan menarik perhatian dunia kerana dapat memanjangkan permusuhan antara umat Islam dengan Militan Falangis; sehingga Israel dapat mencuci tangan; apakah tidak mungkin pemimpin politik Sabah dan Persekutuan menggunakan taktik Israel iaitu tangan Pendatang Asing Tanpa Izin untuk menumpaskan rakyat Sabah melalui kuasa undi yang digelar ‘Fixed Deposit’?

Saya masih ingat kejadian di Sabra dan Shatila ketika masih bersekolah di SMK Menggatal (SMK Bandaraya), Kota Kinabalu kerana pada 19 September 1982, rakyat Palestin tidak dapat melakukan apa-apa untuk mempertahankan diri mereka disebabkan para pejuang telah disingkirkan oleh PBB daripada Beirut dan segala senjata mereka miliki telah diserahkan kepada pasukan penjaga ke amanan.

Dalam keadaan tanpa apa-apa senjata, Israel memanfaatkan situasi tersebut dengan membunuh ramai orang Palestin yang berada di Sabra dan Shatila tanpa belas kasihan. Gencatan senjata dan perdamaian yang disepakati telah dilanggar di depan mata pasukan perdamaian PBB yang tidak berbuat apa-apa langsung.

Pada 22 September 1982, palang Merah Antarabangsa mengumumkan angka palsu bahawa jumlah mayat korban mangsa pembunuhan ramai-ramai di Sabra dan Shatila hanya seramai 2,400 orang sedangkan angka sebenar puluhan ribu termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa sehingga memenuhi satu stadium dan terpaksa menggunakan jentolak untuk mengumpul mayat.

Ketika ini, rakyat kerdil Sabah sendiri tidak tahu bagaimana harus hidup dan menjalani kehidupan di bumi merdeka bernama Malaysia yang sepatutnya bernama Negara Sabah dalam Persekutuan Malaysia (bukan negeri Sabah). Kini mereka suda mula bosan berpolitik dan hampir-hampir tidak mempedulikan lagi siapa yang akan dipilih menjadi wakil mereka dan siapa yang dipilih menjadi pemimpin negara mereka.

Mereka tidak lagi mampu menggunakan akal sihat dan suara hati yang bersih dalam menentukan pemilihan. Yang mereka pentingkan adalah siapa yang memberikan wang paling banyak, maka itulah yang mereka pilih; meskipun ahli politik itu adalah orang yang paling bangsat yang mereka kenal.

Akibatnya banyak jawatan wakil rakyat diisi oleh para penjahat dan penjenayah seperti bekas banduan (melanggan pelacur di luar negara dan dipenjarakan kerana memasuki Negara tersebut secara tidak sah), perogol, PATI, perampas dan sebagainya. Para penjahat inilah yang seringkali kelihatan di skrin kaca televisyen sebagai penggubal undang-undang dan penentu masa hadapan bangsa dan sebagainya.

Sebagai umat Islam, saya mengajak para pemimpin Sabah yang majoritinya beragama Islam menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan bacaan setiap hari. Hati saya menjadi luluh kerana tidak ada satupun yang berubah dari isi kitab ini dan tidak ada satu titik pun yang terubah sejak lebih 1,400 tahun lalu, ketika Islam berada di kemuncak tamaddun beradaban manusia.

Al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat hanya dibaca oleh segelintir umat Islam dan hanya 500 ayat sahaja yang membicarakan tentang hukum hakam dan selebihnya tidak langsung menarik minat orang ramai untuk mengkajinya.

Bayangkanlah suatu ketika nanti, pemimpin yang dilahirkan Sabah hanya mempunyai jasad manusia tetapi berjiwa Iblis mengulangi sejarah Israel menggunakan tangan Militan Falangis untuk menghapuskan etnik asal di bumi Palestin; apakah tidak mungkin pemimpin Sabah yang tamak kuasa menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah ditulenkan sebagai rakyat Malaysia ‘mengeroyok’ rakyat Sabah dan menghalau mereka keluar daripada tanah air mereka?

Bukankah sudah ada petanda? Kampung tradisi yang sebelum ini dihuni rakyat tempatan telah menjadi koloni PATI kerana yang menjadi mangsa birokrasi hanyalah Anak Jati Sabah yang tersepit oleh pengkhianatan pemimpin yang mereka pilih; yang gemar menusukkan pisau belati ke jantung mereka, apabila tidak dapat berbuat apa-apa ketika Agensi Kerajaan membakar rumah, merampas tanah dan tanaman yang mereka usahakan untuk diberikan kepada syarikat lain yang mampu mengeluarkan wang untuk menambah boroikan perut pemimpin.

Akhirkata, jika saya berundur dan menutup Sabahkini.net maka perjuangan saya yang berasaskan ‘Hubbul Watan Minnal Iman’ (Cintakan Tanah Air Sebahagian Daripada Iman) dan semua jerih payah saya berjuang bersendirian demi masa hadapan anak cucu cicit saya akan tersirna begitu sahaja.

Oleh kerana saya tidak mahu anak cucu kencing di kuburan saya kerana tidak memperjuangkan nasih mereka yang terhimpit di penjuru nasib ketika memburu hidup; maka saya meneruskan perjuangan dengan harapan semoga saki baki umur saya dapat dipergunakan sebaiknya; terutama untuk membersihkan Sabah daripada pemimpin yang menjual agama, semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka merekrut pendatang asing tanpa izin Indonesia, Filipina, India dan Pakistan yang beragama Islam sebagai warganegara Malaysia dan menjadi pengundi tegar di Sabah.

Semoga Tuhan mengembalikan pemimpin yang menjual agama untuk survival politik mereka ke pangkal jalan dan bertaubat di atas dosa dan nista yang mereka lakukan sebelum ini atau Tuhan menurunkan laknat terhadap mereka yang sombong, bongkak dan khianat kepada rakyat Sabah.

Dari segi prinsip Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat Malaysia beragama Islam kerana agama rasmi yang termaktub di dalam Perlembagaan ialah Islam; maka pemimpin bukan Islam hendaklah secara sukarela dan insaf mengakui bahawa agama rasmi mereka adalah Agama Islam, namun agama yang mereka anuti adalah Kristian, Buddha, Taoism dan sebagainya.

Jika tidak, jangan bicara soal perlembagaan jika hanya mengambil ‘kepala dan ekor sahaja’.

Innalillah hi wainna ilaihirrajiun!


No comments:

Post a Comment