Oleh: MAIL MATHEW
PERTANDINGAN lagu-lagu patriotik sempena penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan bakal menyaksikan 26 peserta akan berentap merebut gelaran Juara, Naib Juara dan tempat ketiga dalam setiap kategori penyertaan iaitu peringkat kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan kategori terbuka yang akan diadakan di Dewan Sedcovest Tamu Ground, Tenom pada Ahad (10 Oktober ) jam 9 pagi.
Ahli Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi diberi penghormatan untuk melabuhkan tirai penutup sebagai simbolik berakhirnya sambutan Bulan Kemerdekaan bagi tahun 2010 yang diraikan selama tempoh sebulan.
Demikian dinyatakan Pengerusi Penganjur majlis itu Kapitan Wong Tet Yun (gambar atas), ketika memberitahu Sabahkini.net dalam satu kenyataan di pejabat beliau pada Selasa.
Tegasnya, pertandingan lagu-lagu patriotik dipilih sebagai salah satu acara yang amat sesuai untuk mengisi program sempena sambutan Bulan Kemerdekaan selain bertujuan mengimarahkan kecintaan golongan remaja terhadap Negara malah menggalakkan keterlibatan mereka secara langsung dalam program program tersebut dimasa akan datang.
“Kita sengaja ungkapkan program seperti ini dalam usaha kita menerapkan kefahaman generasi muda terhadap kewujudan Negara Malaysia. Selain itu, kita juga mahu mereka memahami dan mempraktikkan konsep 1Malaysia, kerana menerusi lagu-lagu patriotik akan membangkitkan rasa kecintaan dan kebertanggung jawapan mereka terhadap Negara dan bukan sekadar ungkapan sahaja,” jelas Kapitan Wong.
Wong seterusnya berkata, sebelum ini 60 penyertaan telah diterima namun setelah saringan dilakukan mendapati hanya seramai 26 peserta yang layak menjejakkan kaki mereka ke pertandingan akhir. Raptai penuh akan dijalankan pada Sabtu (9 Oktober) jam 9 pagi di tempat yang sama.
Tegasnya, beliau amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai tanpa mengira suku kaum dan peringkat umur agar datang menyaksikan acara yang gilang-gemilang itu kelak.
Sebanyak 25 tajuk lagu patriotik yang bakal menjadi pilihan para peserta untuk didendangkan dalam pertandingan tersebut; antaranya lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, Untukmu Malaysia dan Bahtera Merdeka.
Masjlis tersebut atas anjuran Pejabat Daerah/Jabatan Penerangan Daerah dan seterusnya dibantu oleh para pemimpin masyarakat dan NGO di sini.
No comments:
Post a Comment