Saturday, 9 October 2010

PENEROKA DAKWA LIGS MENYELEWENG



PETISYEN…. Uran Ontoros (tengah) menunjukkan senarai nama peneroka yang menanda tangani petisyen kepada Ketua Menteri Sabah.

Oleh: MAIL MATHEW

SERAMAI kira-kira 1,018 orang peneroka Skim Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Lagud Sebrang, Tenom meminta campurtangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman untuk menyelesaikan masalah ketidak tentuan pengurusan harta dan hasil pendapatan LIGS itu dari terus menerus dilakukan secara haram oleh segelintir pegawai yang ‘pecah amanah’ dan tidak bertanggung jawab.

Kegiatan mereka (segelintir pegawai yang berkenaan) telahpun dilaporkan ke pihak atasan (Pengurus Besar LIGS) sekitar tahun 2009 namun sehingga kini tidak menampakkan tindakan konkrit dilakukan hasil dari laporan itu.

Jurucakap peneroka mantan Pengerusi JKKK, Uran bin Ontoros, 48, berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net, sambil menunjukkan senarai 1,018 peneroka yang telah menandatangani memorandum sebagai petisyen mereka kepada kerajaan supaya suatu tindakan tegas harus dilakukan seberapa segera.

Petisyen yang ditandatangani peneroka seramai 1,018 meminta kerajaan khususnya LIGS mengambil tindakan tegas kepada segelintir kakitangan dan pegawai yang bersekongkol dengan mantan Pengurus Stesen LIGS Lagud Sebrang yang menjadikan Blok 9, seluas 550 ekar ladang getah seolah-olah milik mereka di mana semua hasil pendapatan tidak dimasukkan ke dalam tabung LIGS.

Malahan kumpulan itu mendakwa kononnya Blok 9, seluas 550 ekar ladang getah itu milik peribadi mantan Pengurus stesen (ketika itu Saman Lagan) LIGS Lagud Sebrang. Pada hal mereka (peneroka) sedar bahawa blok 9 adalah sebahagian daripada kawasan peneroka LIGS.

“Macamana blok 9 itu bukan milik LIGS sedangkan kerja-kerja menanam pokok getah, penyelenggaraannya, jalanraya ke situ semua kos ditanggung LIGS. Apabila sudah mengeluarkan hasil mereka kata Saman Lagan punya sendiri. Dalam pelan kawasan itu milik LIGS. Bila kami buat laporan di pusat. Tetapi tindakan mereka hanya sekadar menukarkan Pengurus itu ke daerah lain, tetapi orangnya masih melakukan kerja-kerja itu atas arahan pengurus itu,” tegas Ontoros.

Ditanya apakah sebelum itu mereka sudah melaporkan perkara itu kepada pihak tertentu seperti Pejabat Daerah dan Pengurus Besar LIGS supaya kegiatan mereka itu tidak berlarutan dan dapat diselesaikan secepat mungkin Ontoros berkata;

“Kami sudah jumpa Pegawai Daerah bulan Mei, 2010, tetapi dia sekadar nasihat kami supaya bincang perkara ini dengan sebaik-baiknya dengan pengurusan LIGS pusat. Sebelum itu pun kami sudah jumpa Pengurus Besar LIGS (bukan yang sekarang) sekitar tahun 2008, tetapi tiada tindakan konkrit dilakukan, selain menukarkan pengurus itu ke daerah lain. Bermakna aduan kami itu sia-sia sahaja tiada tindakan dibuat,” jelas Ontoros.

Ketika ditanya apa kaitan kepentingan mereka dalam urusan hartanah dan hasil LIGS , Ontoros berkata, selaku peneroka mereka diberi ekuiti bayaran 33 sen bagi setiap sekilogram daripada pendapatan LIGS yang menunjukkan meraka ada kepentingan di dalam pengurusan LIGS. (Jadi) Setiap perlakuan buruk oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang boleh mendatangkan kerugian kepada LIGS, maka mereka akan bertindak melaporkan kepada pihak pengurusan.

Beliau menegaskan bahawa, sudah sampai masanya mereka tidak boleh berdiam diri melihat kelibat buruk pegawai LIGS yang pecah amanah dan terpaksa bertindak terhadap segelintir ‘penyamun di siang hari’ yang berlaku di hadapan mata mereka setiap hari untuk merompak dan menyamun harta LIGS.

Mereka (peneroka) jelasnya lagi, turut meminta pihak berkuasa SPRM untuk turut serta campurtangan menyiasat masalah tersebut kerana ia melibatkan kakitangan dan pegawai awam.

No comments:

Post a Comment