Oleh: KREW SABAHKINI.NET
OPERASI memperkasa nadi penggerak PKR Cabang Tenom dilanjutkan lagi ke kampung Mamaitom dan misi mereka menawan kampung tumpah darah Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raimie Unggi terlaksana.
Sambutan yang begitu menggalakkan memberikan signal yang jelas bahawa rakyat Tenom inginkan perubahan terhadap pentadbiran Kerajaan Sabah yang terlalu lembab sehingga mereka merasakan diri mereka bagaikan dikuarantin sejak 47 tahun lalu.
Ketika ditemui oleh Krew Sabahkini.net, penduduk kampung berkenaan menyatakan bahawa mereka kini bertekad ingin melakukan perubahan kerana mereka tidak gentar lagi menghadapi ugutan atau amaran dari sesiapa pun kerana telah membulatkan tekad menyertai PKR.
Penduduk kampung ini menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi dan seharusnya kebebasan bersuara dan memilih tidak dipertikaikan sama sekali oleh kepimpinan UMNO/BN dan kroni-kroninya, Ketua Kampung dan JKKK yang dianggap sebagai ‘Pak Turut’ dan boneka BN.
Ketua Cabang Tenom, Halik Zaman ketika di minta memberikan sepatah dua kata di majlis berkenaan menegaskan, bahawa PKR kini lebih berkeyakinan untuk bergerak maju dan merobohkan kubu-kubu UMNO/BN demi satu bagi mencapai hala tuju perjuangan membela nasib rakyat Sabah.
Menurut Halik lagi, sudah terlalu lama pemimpin UMNO/BN memperdayakan pengundi-pengundi terutamanya penduduk di pedalaman.
Rakyat di pedalaman akan terus menerus miskin dan tidur bersulamkan segala kepayahan manakala pemimpin-pemimpin UMNO/BN terus tidur di tilam yang empuk dan diuliti kemewahan.
“Inilah matlamat PKR terutama untuk membenteras kemiskinan rakyat Sabah di pedalaman yang selama ini dipandang remeh oleh pemimpin BN,” ujar Halik lagi.
Halik Zaman menyatakan, sekiranya PKR diberi peluang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau akan memastikan segala kepincangan dan kesulitan rakyat akan di atasi dengan segera.
Keperihatinan kerajaan Pakatan Rakyat telah terbukti di negeri Selangor. Pelbagai bentuk kebajikan untuk rakyat telah diwujudkan dan disempurnakan dengan sewajarnya. Rakyat Selangor kini sedang menikmati pelbagai kemudahan hasil dari sistem pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.
Menurut Halik lagi, rakyat Sabah sewajarnya diberi layanan ‘Kelas Satu’ memandangkan Sabah mempunyai sumber hasil yang lumayan, akan tetapi hasil dari sumber hasil bumi Sabah hanya dinikmati oleh ‘segolongan yang terpilih’ sahaja, rakyat dibiarkan hidup diuliti kesukaran hidup.
“Maka kerana itulah rakyat Sabah harus terus bangkit dan berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan kesungguhan mereka untuk merubah nasib hidup rakyat Sabah khasnya di pedalaman”, kata Halik lagi sebelum mengakhiri ucapan beliau pada petang itu.
No comments:
Post a Comment