Saudara Pengarang,
SALAM hormat buat Krew Sabahkini.net yang tidak makan saman. Tahniah kerana lantang menyuarakan dan membongkar kebenaran walaupun wujud halangan tertentu daripada pihak yang berkepentingan. Saya ingin memberi sedikit maklumat buat Sabahkini.net agar ertikel yang disiarkan lebih bertenaga.
Saya ingin merujuk artikel bertajuk ‘Nilwan Berbohong Lagi’ yang disiarkan pada 30 September 2010 kerana saya berpendapat kontraktor PPR Kunak mungkin kebal kerana walaupun projek yang dilaksanakan sakit tenat tetapi tidak ditamatkan kontrak dan hanya diberi lanjutan masa.
Mungkin SPRM terlalu kenyang makan wang dan pangkat di Sabah sehingga tidak berminat menyiasat bagaimana kontraktor yang tidak berwibawa ini bukan sahaja gagal menyiapkan projek yang ‘diberi’ dengan sempurna, malah dianugerah lagi tiga projek baru iaitu PPR Kudat, PPR Keningau dan PPR Semarak Tawau seolah-olah tidak ada lagi kontraktor lain di Sabah yang kompetan dan mampu melaksanakan kerja kontrak dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Keempat-empat PPR ini semuanya tenat dan tercungap-cungap seperti nyawa-nyawa ikan. Mungkin kerana projek ini Projek Top-Up yang perlu dibahagi kepada beberapa VVIP sehingga kontraktor kehabisan modal sehingga kerajaan begitu prihatin memberikan lanjutan masa sedangkan rakyat yang mahu menduduki rumah berkenaan semakin menderita.
Mengikut siasatan saya, kontraktor kesayangan SPNB, Puncak Deras Sdn. Bhd dianugerahi projek merekabentuk, membina dan menyiapkan 400 Unit Rumah Pangsa dan kerja-kerja yang berkaitan dengannya bagi Program Perumahan Rakyat (PPR Disewa) Di Kunak 1 pada 23 Februari 2007 dengan kos RM 28,038 juta.
Hampir tiga bulan kemudian iaitu pada 18 Mei 2007, kontraktor ini mendapat lagi satu projek yang dinamakan sebagai Proposed Development Of Affordable Housing Scheme Completion Of 720Units Of 6 Storey Low Medium Cost Apartment Type B; 720 Units Of 6 Storey Medium Cost Apartment Type C; 36 Units Of 2 Storey Shops and 72 Units Of Double Storey Terrace House On CL.075314877 and 075121078 KM13, Jalan Labuk (Design & Build) bernilai RM 139.420 juta.
Lima hari kemudiannya (22 Mei 2007), kontraktor ini dianugerahi kontrak membina dan menyiapkan Sebuah Sekolah Kebangsaan Padang Berempah Yang Mengandungi 24 Bilik Darjah dan Kemudahan Berkaitan dengan kos RM 16.380 juta.
Mengikut rekod, Kontraktor PKK Kelas A ini telah melantik Ayob Bin Mokhtar dan Chu Su Ken @ Kelvin sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk mengurus, mengendali dan memantau semua projek termasuk tiga PPR yang baru diperolehi oleh Puncak Deras Sdn.Bhd, namun kesemuanya berjalan agak perlahan dan tergendala.
Isu utama yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kemungkinan kontraktor utama tidak berwibawa dan mungkin hanya meminjamkan lesen mereka untuk digunakan oleh VVIP tertentu memohon projek dan melaksanakannya secara sub-kontrak dan berdasarkan sistem komisyen.
Berdasarkan kesemuanya projeknya sebelum ini termasuk Pelaksanaan Projek Secara Runding Terus Di Bawah SPP 7/99 Klinik Kesihatan Tungku, Lahad Datu adalah projek bermasalah, Kerajaan Persekutuan hendaklah lebih berhati-hati memberikan kontrak runding terus atau tender terhad; melainkan jika ingin kehilangan kesemua 60 Dewan Undangan Negeri dan 25 Kerusi Parlimen di Sabah kepada pembangkang pada pilihanraya umum akan datang?
Salam Hormat dan Selamat Maju Jaya untuk Sabahkini.net, SPRM dan SPNB,
Yang Kecewa,
SABAHAN TULEN
No comments:
Post a Comment