Sunday, 17 October 2010

RAKYAT TENOM SAMBUT BAIK BAJET 2011



Oleh: MAIL MATHEW

BAJET 2011 sejumlah RM212 billion sepertimana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu telah menggariskan pelan strategi, merangkumi perancangan projek-projek utama dalam usaha untuk mentransformasi Malaysia menjadi Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Kesungguhan kerajaan merangka Bajet 2011 yang banyak menfokuskan kepada keperluan rakyat terutamanya program mensejahterakan penghidupan rakyat; memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion yang bakal dimanfaatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan mendapat pujian.

Justeru, rakyat di kawasan Pedalaman terus merasa lega dengan kesungguhan kerajaan yang memasukkan agenda menaiktaraf penghidupan rakyat selain merangsang ekonomi di sini, khususnya dalam sektor pelancongan dalam Bajet 2011 terus mendapat perhatian dan mengharapkan agar ia dijadikan keutamaan.

Sungguhpun begitu, masih terdapat kelemahan lain yang perlu di atasi ketika di peringkat pelaksanaan yang mana selama itu (bajet di masa lalu) terus menjadi keraguan rakyat tentang ketidak keberkesanan pelaksanaannya (tertunggak) khususnya di kawasan Pedalaman.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin akar umbi telah ditemui secara rawak (random) pada Sabtu dan masing-masing telah meluahkan pandangan dan cadangan mereka dalam usaha untuk membantu memperkemas pelaksanaan Halatuju Bajet 2011 dari terus berulang pengalaman kepincangan yang berlaku di masa lalu.

Pegawai Kemajuan Masyarakat kawasan N.35, DUN Melalap, Madis @ Charlton Suman turut menegaskan bahawa selepas pelaksanaan setiap projek pembangunan perlu dilakukan pemantauan, untuk mempastikan sasaran dan kualiti kerja yang dilaksanakan mencapai piawaian yang telah ditetapkan.

Tegasnya, beliau sering mendengar keluhan rakyat kerana pihak agensi kerajaan yang terbabit, terutamanya syarikat konsesi kerajaan yang dipertanggung jawabkan berhubung masalah penyelenggaraan jalanraya tidak dilakukan dengan memuaskan.

Madis menegaskan, bahawa tidak ada gunanya setiap bajet yang memperuntukkan berbillion ringgit untuk memajukan rakyat di setiap wilayah, terutamanya kawasan Pedalaman tetapi sambutan dingin pihak tertentu khususnya agensi kerajaan tidak melakukannya dengan sepenuh hati.

Madis yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) DUN Melalap, seterusnya menegaskan bahawa langkah kerajaan menerusi Bajet 2011 menaikkan elaun bulanan JKKK, JKKK (P), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru daripada RM450 kepada RM800, disifatkan sebagai kena pada waktunya, supaya dengan adanya kenaikan elaun itu dapat memberikan suntikan semangat kerja yang lebih konsisten dalam usaha merealisasikan halatuju misi dan visi kerajaan seperti yang terkandung dalam Bajet 2011.

“Begitu juga kepada kerajaan kita tidak mahu bajet ini sekadar ungkapan yang boleh diibaratkan kata-kata retorik, tetapi terlalu lewat dilaksanakan. Trend sebegini membuatkan rakyat menuding jari pula kepada wakil rakyat dengan pelbagai persepsi negative, sekaligus melemahkan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” tegas Madis.

Madis bersyukur kerana dalam Bajet 2011 telah memperuntukkan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar sejumlah RM200 juta supaya setiap kawasan DUN dapat menambah bilangan pengagehannya setiap tahun.

“Ini juga membolehkan sasaran kita untuk membasmi masalah pemilikan bantuan rumah bagi golongan terbabit dapat dicapai dengan secepat mungkin sebelum tahun 2020. Pembinaan ini turut melibatkan 12,000 unit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tetapi kalau boleh kita di sini dapatkan lebih kurang 50 unit setahun,” tegas beliau.

Pemimpin masyarakat Cina, Kapitan Ng Tet Hau yang juga Ketua Liberal Demokratik Parti (LDP) Tenom turut lega kerana bajet kali ini turut menekankan usaha penambahbaikan sektor pelancongan sebagai langkah pengembangan ekonomi di kawasan Pedalaman.

“Kita sudah tegaskan masalah ekonomi dalam sektor pelancongan di peringkat jawatankuasa ekonomi dan pelancongan daerah. Bagaimanapun dengan adanya usaha kerajaan menerusi Bajet 2011 untuk menaiktaraf dan membina lebih banyak hotel dan chalet, adalah satu langkah positif kearah lonjakan ekonomi di Pedalaman,” tegas Kapitan Ng.

Manakala seorang pesara, mantan Pengetua Sekolah Menengah, Raymond Emus Gintod, selain menyambut baik Bajet 2011, turut mengalu-alukan langkah kerajaan menyediakan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan penduduk di kawasan terpencil di Sabah, khususnya di kawasan Pensiangan, Rundum dan Kapulu mendapat kerakyatan.

“Kita mahu melihat, dalam usia Sabah merdeka lebih 47 tahun lalu, tiada lagi rakyat tempatan yang tersisih dari memiliki dokumen kerakyatan seperti sijil beranak dan kad pengenalan yang tulen jika tidak, rakyat sendiri akan disangka PTI,” tegas Emus.

Bajet 2011 turut menfokuskan kepada membina dan menaiktaraf jalanraya luar bandar di Sabah dan Sarawak sejumlah RM2.1 billion, manakala perbelanjaan sejumlah RM556 juta untuk di Semenanjong.

No comments:

Post a Comment