Saudara Pengarang,
SYABAS dan tahniah kepada Ketua Cabang PKR Tenom, Datuk Halik Zaman atas kenyataanya yang berterus terang membongkar kezaliman pemimpin UMNO, khususnya Ketua Wanita UMNO Tenom yang rakus membolot semua projek pembangunan di Tenom bernilai ratusan juta seperti yang didedahkan Halik, yang juga bapa saudara kepada Ketua Wanita itu.
Sungguh pun begitu, kelantangan Halik masih boleh diragui kerana mungkin juga Halik sekadar bersandiwara semata-mata bermotifkan politik untuk menarik perhatian dalam usahanya meraih sokongan rakyat di sini untuk tujuan survival politiknya seperti mana yang pernah dilakonkannya ketika di zaman pemerintahan kerajaan USNO dan Parti Berjaya suatu ketika dahulu.
Jika benarlah apa yang didedahkan Halik tentang keburukkan ‘Anak Buahnya’ itu selaku Ketua Wanita UMNO Tenom, maka rakyat Tenom tidak merasa ragu-ragu ‘menabik’ hormat ketelusan dan pendirian Halik untuk mempertahankan hak rakyat di sini dari terus dirompak tanpa belas kasihan.
Pemikiran rakyat ketika ini berada dalam situasi dilema sama ada rakyat akan terus percaya semua celoteh itu atau sebaliknya, kerana di dalam kepala dan hati rakyat sama ada Halik atau Ramahjan adalah sejenis spesis yang sama sahaja yang lahir dan dihidupkan dalam satu sangkar emas.
Namun begitu, apa yang dikatakan Halik tentang pengabaian tanggung jawab pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang berusaha bertungkus lumus mengangkat mereka ke takhta ‘Aku Yang Berhormat’ menerusi proses demokrasi ‘Peti Undi’ tetap akan menerima pembalasannya pada PRU13 nanti.
Rakyat sekarang di abad ke-21 lebih matang berfikir dan mampu menilai mana-mana jenis pemimpin yang sekadar pemimpin ‘bermuka-muka’ termasuklah pemimpin yang suka menggunakan ‘wang’ sebagai sandarannya untuk berkuasa seterusnya melebarkan empayar dalam niatnya untuk terus ‘memperkulikan’ rakyat.
Berapa lama lagi UMNO-BN boleh memperkulikan rakyat atau berapa lama lagikah Halik boleh bersuara lantang sebagai ‘Wira Kalawon’ Murut dalam bentuk ‘celup’ konon kebangkitannya di Parlimen Tenom sebagai Ketua PKR di sini untuk membela rakyat khususnya usahanya membaikpulih calar yang terukir di dahi setiap masyarakat Murut yang pernah digelar ‘Murut senang diurut, Dusun senang disusun’ ketika era kerajaan Parti Berjaya suatu ketika dahulu.
Apa Pun, semuanya tersandar di bahu Halik kerana UMNO-BN yang bakal ditolak rakyat pada PRU13 kelak, apakah Halik boleh melakukan yang yang lebih baik selepas UMNO-BN? Sama-samalah kita tunggu!
Salam Hormat,
MANTAN PEMIMPIN PARTI BERJAYA
No comments:
Post a Comment