Saudara Pengarang,
KAMI penduduk Labuan menggesa Menteri Kerja Raya dan Ketua Pengarah JKR meluangkan sedikit masa untuk melawat Labuan dan melihat sendiri jalan raya di pulau kecil ini, terutama di Jalan Tun Mustapha, Jalan Kerupang 1 hingga 3, Jalan Pohon Batu dan yang paling teruk ialah Jalan Sungai Benua sampai ke Jalan Bukit Timbalai.
Keadaan kesemua jalan tersebut seperti menaiki perahu dari Labuan ke Menumbok. Entahlah macam mana keadaan jalanraya di pulau kecil ini sampai tahap seperti ombak di laut.
Kami amat hairan kerana seolah-olahnya Menteri Kerja Raya tidak ada duit untuk mendapatkan kontraktor yang mahir membuat jalan dengan sekaligus daripada dapat kontraktor yang kami sentiasa kelihatan cuma berapa orang warga asing dan sebuah lori 3 tan yang membaiki jalan lubang.
Kami percaya setiap lubang yang dilapis dituntut di jabatan JKR bukan murah dan masalahnya ialah setahun berapa kali yang kami lihat, di tempat dan lokasi yang sama juga diperbaiki. Jalanraya di Labuan tidak rata dan amat berbahaya kepada semua penguna jalanraya di pulau ini.
Berapa kes kemalangan maut seperti di Jalan Tun Mustapha kerana jalan tidak rata, seperti komen oleh pihak Ketua Polis Labuan di sebuah surat khabar kelmarin.
Kami memohon agar dibina lampu isyarat di beberapa lokasi di Labuan seperti berikut:
1- Jalan Simpang Pulau Buah
2- Jalan Simpang Kerupang 3 (Sekolah Rendah Kerupang)
3- Jalan Durian Tunjong (Hadapan Kedai Hup Huat Supermarket)
4- Jalan Masjid (Depan Pejabat SESB)
Kami juga mendesak Pihak Trafik dan Unit Peronda Polis agar mengambil tindakan menyaman kenderaan yang meletak di depan Kedai Kopi 126 hingga ke RHB bank pada waktu malam dan waktu siang.
Manakala di belakang Milimewa pula tanpa belas kasihan, para pemandu terus masuk ke dalam karaoke atau kedai kopi tanpa mempedulikan orang lain sehingga menghalang atau mengancam keselamatan pengguna jalanraya.
Jalan tersebut ialah Highway di depan Kedai Kopi 126 dan ada garis putih memang tidak boleh berhenti atau meletak kenderaan. Namun kebanyakan pemandu degil dan meletak kereta sesuka hati seperti jalan tersebut milik mutlak keluarganya.
Jika Polis Trafik keluarkan saman, tidak payah dilayan jika mereka meminta dikurangkan kadar kompaun kerana kita tidak mau sebarang kemalangan berlaku; barulah mahu mengambil tindakan.
Setiap pemandu harus tahu bahawa mereka tidak boleh meletak kenderaan mereka sesuka hati dengan alasan tiada parking. Kalau menurunkan penumpang atau berhenti sekejap untuk masuk ke klinik atau menurunkan orang sakit atau orang kurang upaya lainlah ceritanya.
Kes yang kami adu ialah pemandu yang minum di depan kedai kopi tanpa peduli penguna jalanraya yang lain dan kami rasa pemandu tersebut hanya mahu menunjuk kereta mewah dia pada semua orang dalam kopi kerana kononnya hanya dia mempunyai kereta sport atau ninja king.
Harap masalah tersebut di atas akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.
Salam Hormat.
LABUANITE
No comments:
Post a Comment