Sunday, 13 November 2011

SAMPAI BILA NIKMATI PEMBOHONGAN?


ANTIK....Conveyor punggahan barang di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sandakan ini sudah layak dihantar ke Muzium.

Saudara Pengarang,

SEBAGAI salah seorang penduduk Sandakan, saya ingin melahirkan kemusykilan saya terhadap kenyatan-kenyataan akhbar yang diberikan oleh para wakil rakyat Sandakan mengenai projek naiktaraf lapangan terbang Sandakan yang boleh saya ibaratkan sebagai tidak konsisten dan tidak jujur kepada penduduk di Sandakan.

Seingat saya, pengumuman pertama yang saya dengar mengenai projek menaiktaraf lapangan terbang Sandakan kepada lapangan terbang bertaraf antarabangsa adalah semasa saya menghadiri kempen pilihanraya umum yang lalu di Taman Khong Lok, Batu 7, Sandakan.

Janji pembangunan ini diumumkan sendiri oleh Adun Sungai Sibuga yang juga Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Musa Aman di hadapan ratusan penghuni Taman Khong Lok.

Saya masih ingat lagi kata-kata dan janji-janji manis Datuk Musa Aman yang berjanji penduduk Sandakan akan menikmati limpahan pembangunan termasuk projek naiktaraf lapangan terbang sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dan beliau sendiri berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Sibuga.

Kemudian pada sekitar tahun 2009, saya terbaca kenyataan akhbar oleh Timbalan Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Rahim Bakri mengenai projek ini. Menurut beliau, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM110 juta untuk menaiktaraf lapangan terbang Sandakan dibawah projek Sabah Development Corridor (SDC) malah menurut beliau, projek ini sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RM9).

Menurut beliau lagi, komponen utama projek ini adalah memanjangkan landasan dari 2113 meter sekarang ke 2591 meter yang bernilai RM70 juta bagi menampung ketibaan dan juga pelepasan pesawat Airbus 330.

Selain itu, sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk pembesaran terminal dan RM10 juta pula untuk menaiktaraf infrastruktur lain.

Selepas itu, projek ini dikitar semula dan dilaung-laungkan semula oleh Datuk Musa Aman yang menyatakan projek ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke 10 (RM10) semasa berkempen di pilihanraya kecil Batu Sapi pada tahun lalu.

Pada awal tahun ini, saya terbaca pula kenyataan oleh ADUN Elopura iaitu Au Kam Wah yang menyatakan projek ini akan direalisasikan tidak lama lagi dan yang terbaru ialah kenyataan dari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan iaitu Datuk VK Liew di sebuah suratkhabar tempatan pada 10 November 2011 apabila beliau menyatakan projek ini akan dapat menjana ekonomi penduduk Sandakan.

Tetapi yang menjadi persoalan saya, ‘BILAKAH’ projek ini akan dilaksanakan atau dimulakan? Saya berasa geram dan sakit hati setiap kali membaca kenyataan kenyataan akhbar ini kerana saya berasa dipermain-mainkan dan ditipu oleh semua wakil rakyat Sandakan ini kerana sejak pilihanraya umum yang lalu sampai sekarang, projek yang dijanjikan ini belum lagi dimulakan!

Saya meminta jasa baik wartawan Sabahkini.net iaitu Shaimon Jumadi supaya menemuramah Datuk Musa Aman ataupun Datuk V.K Liew dan menanya mereka bila sebenarnya projek ini akan dimulakan?

Adakah kami penduduk Sandakan terpaksa mendengar sekali lagi janji projek ini di kempen pilihanraya umum yang akan datang? Sampai bilakah kami penduduk Sandakan dibohong dan dipermain-mainkan?

Salam Hormat,

STEVE.

No comments:

Post a Comment