Tuesday, 6 March 2012

BR1M 'HARAM' UNTUK TABUNG PARTI?

Oleh : AZMAN ARIFFIN

TINDAKAN PAS Perak Kawasan Taiping melalui surat pekeliling oleh Setiausaha PAS kawasan, Razali Ab. Razak disini yang meminta ahli parti tersebut yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menyumbangkan 10% daripada jumlah tersebut ke dalam tabung parti untuk pilihanraya, adalah sesuatu yang amat memalukan Pakatan Rakyat.

Walaupun bersifat sukarela, tapi yang haram tetap haram. Agaknya PAS kawasan Taiping terlupa yang Datuk Nik Aziz Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan bahawa BR1M ini adalah haram untuk diterima penyokong PAS kerana ia adalah rasuah UMNO untuk pilihanraya yang akan datang.

Itu sahaja sudah jelas untuk dijadikan panduan bahawa penyokong PAS dan Pakatan Rakyat amnya HARAM menerima BR1M ini dalam apa keadaan sekalipun.

Dipendekkan cerita, menerima dan membelanjakan wang BR1M ini tidak ada bezanya daripada membelanjakan wang hasil judi dan loteri untuk makan minum anak dan isteri di rumah!

Jadi apabila wang dari hasil sama turut digunakan untuk perbelanjaan pilihanraya PAS, ia jelas berlawanan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mursyidul Am mereka sendiri. Selama hari ini, tanpa BR1M sekalipun, PAS bertanding dan menang dalam pilihanraya seperti biasa, jadi kenapa kali ini berbeza sehingga hasil haram pun digunakan untuk membiayai perbelanjaan parti?

Walaupun wang ini adalah wang rakyat, tapi tujuan dibelanjakan itu jelas - untuk mempengaruhi rakyat mengundi BN dalam pilihanraya akan datang. Penulis mendengar, BN sebenarnya mampu memberikan lebih dari RM 500 tapi ini sebagai permulaan untuk angka yang lebih besar jika BN kekal memerintah selepas PRU13.

Sumber wang itu boleh dipertikaikan kesahihannya kerana seperti yang pernah disebut oleh Perdana Menteri Najib dalam perbahasan di Parlimen, sumber pendapatan kerajaan tidak diasingkan antara sumber yang halal dan sumber yang haram!

Maknanya, sumber wang BR1M ini boleh jadi datang dari hasil cukai kilang-kilang arak dan kedai-kedai nombor ekor juga. Ditambah dengan tujuan BR1M itu sendiri untuk tujuan politik BN.

Oleh itu, kenyataan Nik Aziz itu adalah menepati justifikasi pengharaman BR1M itu sendiri. Tidak patutlah sesiapa pun cuba mengelirukan kenyataan tersebut dengan memberi alasan wang rakyat dan sebagainya.

Yang haram tetap haram, walaupun sebesar kuman!

No comments:

Post a Comment