Oleh : AZMAN ARIFFIN
MASYARAKAT moden Malaysia yang liberal, rata-rata kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penganjur program Seksualiti Merdeka untuk membuat semakan kehakiman ke atas keputusan polis yang menghentikan program tersebut.
Keputusan ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman di Malaysia masih lagi dibelenggu oleh kekangan-kekangan tertentu pihak berkuasa dan tidak bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan yang mempunyai kepentingan awam.
Selanjutnya, ia hanya akan menjatuhkan lagi imej negara di mata dunia kerana keputusan ini berlawanan dengan ketetapan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia (HAM) pada Jun 2011 yang memutuskan bahawa larangan mengamalkan orientasi seksual pilihan individu adalah satu pencabulan kepada hak asasi manusia.
Masyarakat moden Malaysia sudah terbukti boleh menerima program yang sedemikian melalui kejayaan penganjurannya sejak 2008. Penulis tidak nampak ada sebarang masalah untuk program ini dilanjutkan lagi tanpa ada gangguan daripada pihak berkuasa negara ini.
Program Seksualiti Merdeka ini tidak diadakan di kampung-kampung ataupun kawasan-kawasan terpencil kerana kita sedar tahap pemikiran dan kesedaran masyarakat di kawasan tersebut jauh berbeza dengan masyarakat moden di bandar.
Justeru, bagaimana Mahkamah boleh sependapat dengan pihak polis bahawa program ini membahayakan keselamatan negara pun penulis tidak pasti. Siapa yang diancam dan apa yang mengancam?
Penulis ingin mengingatkan, tanpa atau dengan program Seksualiti Merdeka inipun, hal-hal berkaitan dengan seks sejenis dan bebas ini masih lagi berlaku, menunjukkan bahawa program ini tidak ada kena mengena dengan pertambahan atau pengurangan jumlah pengamalnya.
Yang diutamakan ialah melindungi hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ini daripada diskriminasi masyarakat yang tidak boleh menerima ‘keistimewaan’ yang dikurniakan Tuhan kepada mereka.
Ini satu lagi alasan kenapa Pakatan Rakyat perlu diangkat menjadi kerajaan Persekutuan dalam pilihanraya ke-13 nanti. Walaupun terdapat perbezaan di sana-sini antara parti komponen mengenai program ini, tapi secara dasarnya kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat menjunjung tinggi hak asasi manusia seperti yang diperjuangkan oleh kumpulan penganjur Program Seksualiti Merdeka ini.
Kehadiran Datuk Ambiga Sreevanesan (Pengerusi Bersih 2.0) dan Majlis Peguam sebagai antara penganjur bersama adalah bukti kepada komitmen tersebut. Di samping penglibatan aktif media pro Pakatan Rakyat seperti Malaysiakini yang aktif melaporkan perkembangan program ini dari sudut pembacaan dan konteks yang betul.
Apa pun penulis ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Pang Khee Teik, Angela Kuga Thas, Thilaga Sulathireh, Siti Kasim dan Michelle Nor Ismat kerana keberanian memperjuangkan isu ini sehingga ke peringkat tertinggi dan seterusnya.
Tanpa mereka semua ini, penulis yakin imej Malaysia akan lebih tercemar di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment