Friday, 16 March 2012

LAKUKAN PEMBERSIHAN SEBELUM PRU

Oleh : AZMAN ARIFFIN

DESAS-DESUS bahawa satu lagi video seks melibatkan pemimpin atasan PR semakin hebat diperkatakan. Sumber-sumber dalaman juga hampir mengesahkan bahawa video tersebut benar-benar wujud dan akan dihebahkan oleh pihak BN di saat-saat akhir sebelum PRU, bagi memberikan impak yang dahsyat terhadap PR.

Jika ini benar, maka ia akan merupakan tamparan maut kepada PR.

Walaupun pihak kami tidak diberikan maklumat mengenai individu yang terlibat secara terperinci tetapi kami mendapat gambaran yang agak jelas mengenai siapa yang dimaksudkan. Entah benar entah tidak, hanya individu yang terlibat yang tahu, dan yang mampu mengesahkannya.

Sebagai laman yang bertanggungjawab dan bagi memastikan PR terus kukuh terutamanya di kala pilihanraya semakin dekat, kami di laman Suara PR tidak punya banyak pilihan selain dari memberi amaran awal iaitu jika video tersebut benar, maka individu yang terlibat wajar mengundurkan diri serta-merta.

Lebih elok lagi, jika semua pemimpin PR yang mempunyai skandal, meletakkan jawatan sebelum PRU menjelang tidak kira sama ada skandal mereka telah terakam dalam video atau tidak.

Tindakan sebegini bukan sahaja akan menyelamatkan maruah sendiri tetapi juga akan menyelamatkan parti dan meletakkan musuh kita di dalam keadaan terpinga-pinga di saat akhir apabila peluru yang ada tidak lagi berguna.

PR sudah tidak mampu untuk menanggung beban skandal-skandal yang menimpa pemimpin-pemimpinnya bertubi-tubi. Benar, ada di antaranya adalah perangkap UMNO semata-mata tetapi bukankah pemimpin kita harus lebih berhati-hati agar tidak masuk perangkap? Jika terlalu sering masuk perangkap, bukankah ia menunjukkan yang parti kita tidak cekap?

Lagipun, jika alasan perangkap ini terlalu sering digunakan, lama-lama ia tidak lagi memberi kesan. Malah rakyat akan mula meragui dan tidak percaya kepada semua alasan kita walaupun alasan tersebut benar belaka.

PR wajar membersihkan parti dengan sebersih-bersihnya bagi menonjolkan diri sebagai parti yang jauh lebih baik dari BN.

Menjelang pilihanraya ini, para penulis, blog-blog dan laman pro-PR seperti kami, seharusnya berupaya menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk menghebahkan kebaikan dan kebijaksanaan PR dalam menguruskan negeri, bukannya bertungkus-lumus menangkis serangan lawan. Kita sudah seharusnya berada dalam mode menyerang, bukannya bertahan.

Oleh itu, sekali lagi kami di laman Suara PR ingin merayu jika benar pemimpin berkenaan terlibat dalam skandal video seks terbaru ini eloklah beliau mengundur diri dengan seberapa segera. Sementara identiti anda masih kabur, pengunduran anda pasti tidak akan menimbulkan kegemparan dan tanda-tanya. Hanya dengan cara ini, maka nama anda akan kekal bersih dan parti dapat diselamatkan.

Jangan nanti bila semuanya sudah pecah, maka menuding jari kepada siapa saja pun tidak akan membantu memulihkan reputasi, maruah dan mungkin juga rumahtangga anda.

3 comments:

  1. Usah sibuk nak persoalkan moral orang lain bila diri sendiri tidak bermoral. Jadilah pemimpin yang boleh diharapkan dari segi kredibiliti, sahsiah, dan integritinya.

    ReplyDelete
  2. dekat PRU ni mcm2 isu yang ditimbulkan.

    ReplyDelete
  3. Jika itu adalah bukti kukuh nampaknya PR semakin dalam bahaya.

    ReplyDelete