Oleh : AZMAN ARIFFIN
AKHIRNYA, krisis politik yang melanda pentadbiran negeri Kedah ini selesai juga. Sumber memaklumkan penulis bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak telah diarahkan oleh PAS Pusat untuk meletakkan jawatan dan seorang Menteri Besar baru akan dilantik.
Tapi memandangkan banyak perkara perlu dilakukan, seperti memohon perkenan DYMM Sultan Kedah untuk seorang Menteri Besar baru dilantik dan mendapatkan persetujuan semua ADUN Pakatan Rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Kedah, maka pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut ditangguhkan terlebih dahulu, dan hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Penulis mendengar jalan penyelesaian ini dicapai setelah campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Datuk Saifudin Nasution untuk membantu, memandangkan beliau sekarang berada di Islamabad, Pakistan. Saifudin telah menyampaikan amanat Anwar kepada Jawatankuasa Khas PAS Pusat untuk menyelesaikan perkara ini yang diketuai Timbalan Presiden, Mohammad Sabu.
Sebelum itu juga, dilaporkan Saifudin Nasution telah menghubungi Datuk Phahrolrazi Zawawi untuk memaklumkan keputusan Anwar.
Azizan pula, walaupun dikhabarkan menerima keputusan tersebut, telah mengarahkan Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Kedah (melalui Setiausaha Sulit Kanannya, Helmi Yahya) untuk mengeluarkan kenyataan menolak sebarang usaha menyingkirkannya dari jawatan tersebut.
Kedua dewan ulama tersebut telah mengeluarkan kenyataan bersama melalui ketua masing-masing, Datuk Harun Taib dan Syeikh Mohammad Abdullah, semalam disini.
Tapi sokongan kedua-dua dewan tersebut dijangka tidak mampu menghalang persetujuan yang telah dicapai kerana Azizan bakal dibiarkan berseorangan dalam menghadapi isu penyelewengan peruntukkan menyelenggara jalan dari kerajaan pusat berjumlah RM 150 juta yang sedang disiasat SPRM, menurut sumber tersebut lagi.
Walaupun Azizan menuduh isu tersebut berkait rapat dengan Phahrolrazi atas kedudukkannya sebagai Exco yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebagai agensi pelaksana, tapi sebagai Menteri Besar, Azizan bertanggungjawab atas semua masalah yang mungkin timbul dari isu tersebut.
Exco hanya menjalankan tugas yang telah diputuskan dalam mesyuarat Exco negeri yang dipengerusikan Menteri Besar.
Penulis mendengar, isu ini juga telah dikenalpasti oleh PAS Pusat sebagai punca utama perbalahan yang berlaku sekarang.
Apa sekalipun, penulis meminta semua pihak terbabit menerima keputusan PAS Pusat ini dengan hati terbuka kerana ia adalah untuk kebaikan semua pihak dan kelangsungan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah negeri Kedah dalam pilihanraya umum akan datang.
Kepada yang telah dikenalpasti sebagai calon Menteri Besar, penulis mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya.
No comments:
Post a Comment