TERBIAR....Kelihatan perumahan PBR Mikro Mesej yang terbiar dan penuh dengan semak samun.
Oleh : ROZIE JUMAT
KAWASAN Program Mikro Mesej yang terletak di Kampung Liau Darat di Keningau kini mulai ditumbuhi semak sehingga menimbulkan tanda tanya apakah perkembangan terkini program yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat?
Program yang memberi keutamaan kepada pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat itu sangat dialu-alukan namun keadaan fizikal kawasan di tapak itu menjadi persoalan.
Hasil maklumat orang ramai yang prihatin dengan perkembangan program tersebut, tinjauan Sabahkini.net mendapati kawasan tersebut bukan sahaja terbiar tetapi turut dirosakkan.
Difahamkan seramai 9 peserta bakal menduduki penempatan Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Mikro Mesej Apin Apin, di Kampung Liau Darat, 14 kilometer dari pekan Keningau.
Mengikut jadual, setiap peserta atau Ketua Isi Rumah (KIRT) akan mendiami sebuah rumah PBR dengan 5 ekar tanah yang ditanam dengan getah.
Dengan keadaan tapak Mikro Mesej yang terbiar ditumbuhi semak samun ramai yang berpendapat program tersebut sebagai 'Projek Gajah Putih'. Rumah-rumah telah disiapkan lengkap dengan pendawaian elektrik namun semak samun mula menenggelami perumahan tersebut.
Difahamkan sepatutnya pada tahun lalu diadakan cabutan kunci kepada peserta terpilih, namun telah ditangguhkan.
“Program yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sememangnya sangat baik untuk rakyat, apatah lagi peserta diberikan sebuah rumah dan tanaman getah yang boleh meningkatkan taraf hidup. Tapi bilakah penempatan ini dimulakan? Kita khuatir jika terbiar begitu sahaja rumah-rumah yang cantik akan rosak disebabkan oleh semak yang mulai masuk ke rumah,” kata Rita, seorang penduduk berhampiran.
SIAP....Rumah yang telah siap sepenuhnya untuk peserta Mikro Mesej.
ROBOH....Pagar roboh di kawasan tanaman getah yang terbiar.
Katanya, pihak pelaksana yang terbabit seharusnya sering memantau perkembangan tapak tersebut kerana penduduk berhampiran tidak mahu dipersalahkan jika sesuatu berlaku kerosakan terhadap tapak tersebut.
Pagar-pagar bagi tanaman getah di tapak itu juga telah roboh. Sementara pintu masuk ke kawasan itu rosak. Sebanyak 9 buah unit rumah PBR yang lengkap dengan pendawaian, kipas dan paip juga tidak berkunci. Ini sudah tentu mengundang kepda pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jalan masuk ke kawasan itu juga telah menjadi tempat pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Getah yang ditanam 2 tahun yang lalu juga tidak kelihatan. Hasil tinjauan tidak kesemua getah yang ditanam tumbuh.
Sabahkini.net akan mendapatkan maklumbalas dari pihak pelaksana dalam masa terdekat untuk mendapatkan gambaran sebenar apakah sebenarnya yang berlaku ke atas program tersebut.
Namun menurut sumber, peserta untuk program itu telah pun disenaraikan dan hanya menunggu masa untuk dipanggil membuat cabutan kunci.
No comments:
Post a Comment