Tuesday, 20 March 2012

MPS, GUNTING DALAM LIPATAN?




Oleh : SHAIMON S JUMADI

SESIAPA sahaja tidak dapat menafikan bahawa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) kini menjadi 'gunting dalam lipatan' atau penghalang kepada kerajaan BN untuk mengekalkan kerusi DUN Elopura, Tanjung Papat, Karamunting dan Parlimen Sandakan pada Pilihanraya Umum Ke 13.

Sikap MPS yang kurang bertanggungjawab dan tidak prihatin mengenai masalah rakyat seperti kerosakan jalan di taman-taman perumahan, saluran parit tersumbat, penjagaan alam sekitar dan sebagainya amat mengecewakan kerajaan Negeri yang didukung oleh Barisan Nasional dan UMNO.

Kelmarin, Sabahkini.Net telah mengadakan 'Road Show Service' ke beberapa kawasan taman di bawah lingkungan ADUN Elopura, Tanjung Papat dan Karamunting; mendapati banyak perkara songsang yang membuat rakyat marah dan benci kepada kerajaan BN.

Contoh paling ketara, sebatang jalan menuju ke Kampung Muhibbah didapati berlubang di tengah-tengah permukaan jalan raya.

Menurut seorang penduduk, Mansur Hisai, kerosakan jalan tersebut berlaku sejak tahun lalu dan semakin teruk kerana MPS enggan melayan aduan penduduk taman dan menyuburkan kemarahan rakyat.

Kata Mansur, kalau para pemimpin BN dan MPS hanya menutup sebelah mata dan pura-pura tidak nampak apa yang sedang berlaku, nescaya akan memberikan kesan negatif kepada pemerintahan kerajaan BN/UMNO.

"Sebagai penduduk kampung Muhibbah, kami sayangkan kerajaan BN/UMNO. Kalau boleh pada PRU 13 nanti, BN dapat mengekalkan ketiga-tiga kawasan DUN dan Parlimen Sandakan. Tetapi akibat kelalaian mereka sendiri akan memberikan impak negatif seolah-olah merekapun tidak sayangkan kerusi mereka,” jelas Mansur.

Tambah membimbangkan kata Mansur, majoriti masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimipinan BN, maka semua pemimpin BN, termasuk akar umbi terpaksa bekerja keras untuk memulihkan keyakinan masyarakat Cina agar kembali memihak kepada BN.

Bagaimanapun Mansur meminta agar gambarnya tidak disiarkan kerana takut dibelasah penyokong wakil rakyat yang semakin liar dan tidak terkawal.

No comments:

Post a Comment