Tuesday, 6 March 2012

PSC BERMESYUARAT HARI INI

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) akan bermesyuarat hari ini untuk membuat susulan mengenai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan interim.

Pengerusinya, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata ini termasuk perbincangan mengenai cadangan umum berhubung mengundi di seberang laut, persempadanan kawasan dan akses media semasa pilihan raya, pembiayaan pilihan raya berbanding dengan apa yang diamalkan di negara demokrasi maju seperti negara Eropah.

"Selain itu, PSC juga akan melakukan post mortem mengenai lawatan ke EU baru-baru ini dan membincangkan model berkaitan untuk penelitian mendalam dan kemungkinan meningkatkan sistem kita yang ada sekarang," katanya ketika dihubungi.

Minggu lalu, anggota PSC, diketuai Ongkili berada selama seminggu di United Kingdom, Jerman dan Denmark bagi mengkaji proses daftar pemilih yang termasuk pembiayaan pilihan raya, akses kepada media dan lain-lain bentuk representasi.

Jawatankuasa itu sudah membentangkan laporan awal yang mengandungi 10 cadangan dan diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Disember.

Sejak itu, terdapat beberapa perkembangan hasil daripada beberapa siri cadangan jawatankuasa itu yang diambil oleh SPR untuk dilaksanakan.

Pada 15 Februari, peraturan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya kecil diwartakan bersama-sama dengan kelulusan bagi sesiapa yang dinamakan oleh pengundi kurang upaya yang berdaftar untuk menemaninya dan memangkah kertas undi bagi pihaknya.

Ongkili juga berkata, anggota jawatankuasa memahami mengenai bagaimana persempadanan kawasan boleh dipertingkatkan berikutan pertemuan dengan Ahli Parlimen British dan pegawai Suruhanjaya Sempadan England.

Beliau berkata, laporan muktamad berhubung cadangan untuk pembaharuan sistem pilihan raya dijangka dibentangkan di Parlimen dan diwartakan pada minggu pertama April.

PSC ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lalu dan diberi enam bulan untuk mengemukakan cadangan.

Selain Ongkili, anggota lain dalam jawatankuasa itu ialah Azmin Ali, P Kamalanathan, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Dr Fong Chan Onn, Datuk Alexander Nanta Linggi, Dr Mohd Hatta Ramli, Anthony Loke dan Wee Choo Keong. (Bernama)

No comments:

Post a Comment