Saudara Pengarang,
KEHILANGAN pekerjaan dan tempat tinggal pastinya memberi kesan dan merubah kehidupan seseorang individu sama ada yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin.
Senario inilah yang akan dihadapi oleh pekerja tempatan warganegara Malaysia yang bekerja di Kilang Kelapa Sawit Mostyn yang terletak di daerah Kunak, Sabah milik SIME DARBY.
Lebih kurang 80 orang warga tempatan yang pastinya akan kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal setelah dimaklumkan kelmarin oleh pihak pengurusan Human Resource Sime Darby Plantation Sdn Bhd.
Notis akan diberikan dan mula berkuatkuasa pada pertengahan April sehingga 31 Jun 2012. Maka bermula pada 1 Julai 2012, segala faedah yang di berikan oleh majikan pada pekerja hendaklah dikembalikan, termasuk tempat tinggal dan akan dipaksa keluar, walaupun tiada tempat tinggal yang tetap.
Sememangnya wang pampasan akan diberikan kepada setiap pekerja, namun ibarat seperti menyuruh warga tempatan duduk mengganggur di kala gaji minimum sektor swasta akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Persoalannya, kenapa Sime Darby tidak menempatkan para pekerja tempatan yang hendak diberhentikan itu ke kilang-kilang berhampiran atau ladang-ladang terdekat milik syarikat itu sendiri?
Kenapa perlu mengambil atau mengimport pekerja-pekerja asing dari negara luar untuk bekerja di syarikat itu? Di mana hak asasi warga tempatan? Adakah penyelarasan gaji minimum sektor swasta menjadi salah satu faktor pekerja ini perlu diberhentikan?
Bukankah Sime Darby ini merupakan konglomerat perladangan yang sentiasa mengaut keuntungan dalam sektor perladangan dan Bursa Saham?. Bagaimana pula nasib pekerja tempatan yang mempunyai anak dan isteri setelah diberhentikan tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan?
Secara keseluruhannya, para pekerja tempatan kini resah, gelisah, mengeluh dan selalu tertanya-tanya di mana hendak mencari kerja untuk memberi nafkah hidup pada keluarga? Apatah lagi mereka diberhentikan julai ini bersamaan dengan bulan ramadhan.
Apakah pihak kerajaan tidak memandang serius hal sebegini? Mungkinkah selepas ini ramai lagi warga tempatan diberhentikan kerja. Adakah pihak kerajaan juga berdiam diri di kala rakyat meminta perlindungan sehingga lupa bahawa warga tempatan ini juga bakal menentukan pucuk pimpinan kerajaan pada pilihanraya umum akan datang?
Salam Hormat,
WARGA MOSTYN
No comments:
Post a Comment