Friday, 16 March 2012

SISTEM PENDIDIKAN LIBATKAN RAKYAT


PANDANGAN, maklum balas dan idea dari rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan hala tuju dan pelan strategik sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan proses penglibatan bersama rakyat itu sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dialog pendidikan kebangsaan akan dilancarkan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Beberapa pendekatan akan dilaksanakan bagi mendapatkan penglibatan rakyat iaitu seperti melalui forum, sesi meja bulat, kaji selidik dan media sosial, katanya dalam satu pertemuan dengan pengarang-pengarang media di sini, Khamis.

Katanya dialog itu akan mengambil kira keseluruhan kumpulan dan golongan termasuk guru, kesatuan, murid, pelajar, belia, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya hasil dapatan kajian dan dialog akan diumumkan kepada rakyat pada Ogos ini.

Selepas itu, katanya, hasil dapatan itu akan dibentangkan pada Hari Terbuka untuk mendapatkan lebih banyak pandangan rakyat sebelum laporan dimuktamadkan.

Muhyiddin berkata kumpulan-kumpulan pakar dalaman dan luar dari universiti, sektor swasta, NGO dan pasukan pemikir akan juga diselaraskan untuk merangka laporan hala tuju pendidikan tersebut.

Beliau berkata penilaian semula sistem pendidikan negara telah melalui fasa pertama yang dibuat berasaskan kajian-kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta.

Kajian tersebut termasuklah kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, International Association for the Evaluation of Educational Achievement; Trends in International Mathematics and Science Study (IEA) (TIMSS), lapan universiti tempatan, lima lawatan kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai jabatan negeri/daerah, 13,000 pelajar dan 110 ibu bapa, katanya.

Beliau berkata sebuah panel penilai bebas dari Malaysia dan antarabangsa juga telah dilantik untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa pertama itu.

Ahli panel dari Malaysia yang dipengerusikan Tan Sri Prof Dzulkifli Razak termasuk Tan Sri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Tan Sri Zarinah Anwar, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Tony Fernandes, Tan Sri Jeffrey Cheah and Datuk Rahim Selamat.

Ahli panel antarabangsa pula terdiri daripada Ketua Bahagian Analisis dan Indikator Pelajaran bagi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) Dr Andreas Schleicher, bekas Menteri Pelajaran Korea Dr Byong Man Ahn, Penasihat Khas Perdana Menteri Ontario, Dr Michael Fullan dan Pengarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Singapura, Dr Sing Kong Lee.

Pandangan dan maklum balas daripada pakar pendidikan kebangsaan juga diambil kira seperti Tan Sri Wan Zahid Wan Noordin, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Prof Datuk Dr Ibrahim Bajunid and Prof Datuk Sidek Baba.

Muhyiddin berkata penilaian fasa pertama itu melihat kepada prestasi pelajar iaitu membabitkan akses, kualiti dan ekuiti dan faktor kritikal prestasi melibatkan guru, pengetua/guru besar, kurikulum, ibubapa/komuniti, kewangan/efisiensi penggunaan sumber dan organisasi/penyampaian.

Beliau berkata beberapa faktor juga telah dikenal pasti untuk penambahbaikan pada fasa kedua proses penilaian itu antaranya mengenai guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan penilaian/pentaksiran prestasi, kefasihan berbahasa, peluang pasca sekolah dan kebolehpasaran.

"Kita melakukan penilaian semula ini agar kita dapat melakarkan hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan," katanya. (Bernama)

7 comments:

  1. Semoga KPM sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk memantapkan sistem pendidikan di negara ini.

    ReplyDelete
  2. pemimpin2 pembangkang juga patut mengunakan peluang ini untuk mengemukakan idea2 mereka.. jangan hanya tahu membangkang ketika ianya sedang dilaksanakan sedangkan mereka juga tidak ada idea langsung dalam memajukan sistem pendidikan negara..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kritikan membina harus ada cadangan yang boleh memperbaiki kelemahan yang ada

      Delete
  3. saya harap selepas ini tidak ada lagi bantahan terhadap sistem pendidikan negara kerana semua rakyat telah diberikan peluang untuk mengemukakan idea masing2..

    ReplyDelete
  4. Dialog pendidik mungkin sesuatu yang positif dalam mengambil kira pandangan2 dan pendapat2 rakyat dalam merangka pelan pendidikan negara.

    ReplyDelete
  5. sistem pendidikan negara harus dimantapkan lagi, sebaiknya para guru kena kenal pasti bakat2 yang ada pada murid2 dan asah bakat2 mereka. selain itu, pemdidikan juga jfn terlalu tumpukan pada akedemik dan kokurikulu semata-mata, pendidika akhlas dan sasiah jgua perlu di utamakan. dgn ini akan lahirnya pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran dan juga akhlak.

    ReplyDelete
  6. Suara rakyat mampu membantu menambah dan juga memperbaiki mutu pendidikan di Negara kita ini. Maka rakyat perlulah memberikan cadangan dan kerjasama dengan kerajaan.

    ReplyDelete