Wednesday, 7 March 2012

TIDAK PERLU PROGRAM BERSIFAT REVOLUSI

DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan program yang bersifat revolusi tetapi, sebaliknya memerlukan pemimpin yang diyakini rakyat dan komited kepada perubahan.

Perdana Menteri berkata tahun ini menjanjikan wujudnya perbincangan politik yang meluas di Malaysia dan beliau berharap lebih ramai perwakilan dapat memberikan tumpuan kepada permasalahan sebenar yang dihadapi.

"Natijahnya rakyatlah yang akan menentukan masa hadapan negara. Itulah erti sebenar kebebasan daripada penguasaan penjajah, itulah yang kita pertahankan sejak mula Merdeka dan sewajarnya kita semua berbangga memiliki sebuah Malaysia yang ditentukan oleh rakyatnya," katanya.

Najib berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk '1Malaysia Adalah Satu Komitmen Terhadap Transformasi' dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan yang menentang 1Malaysia membawa dua penampilan iaitu pihak yang bersikap tegar menyatakan bahawa pendekatan tahun 1971 dan gelombang pertama Polisi Ekonomi Baru tidak boleh diubah, dan pihak yang menuntut program perubahan yang berbentuk revolusi.

Berhubung kumpulan penentang pertama, Najib berkata: "Saya faham mengapa ada kegusaran pada mereka; terdapat banyak lagi ketidakseimbangan sejarah dalam masyarakat kita yang masih perlu ditangani, dan ini akan kita lakukan.

"Namun kita juga perlu menampilkan pendekatan yang dapat menggalakkan mereka yang boleh menyumbang kepada Malaysia untuk kekal di sini dan kita juga perlu mengakui bahawa penglibatan yang lebih meluas dalam ekonomi tidak akan dengan sendirinya menyelesaikan masalah kemiskinan di akar umbi."

Kepada mereka yang meragui 1Malaysia atas sebab-sebab tersebut, Najib menasihatkan mereka supaya bertenang dan bersabar kerana, menurut beliau, 1Malaysia adalah satu strategi dinamik untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Dan saya percaya kita akan mendapat lebih banyak manfaat daripadanya berbanding jika kita menolak perubahan," katanya.

Perdana Menteri menyifatkan kumpulan penentang 1Malaysia yang kedua sebagai lebih membimbangkan dengan terus-menerus menolak dan tidak berpuas hati dengan apa sahaja yang dilakukan kerajaan, serta menuntut program perubahan berbentuk revolusi.

Mengulas lanjut mengenai kumpulan ini, Najib berkata kata-kata mereka berubah mengikut siapa hadirin mereka dengan bermotivasikan ketamakan kuasa dan sentiasa membangkitkan kontroversi bagaikan ia satu keperluan dan kemestian bagi mereka.

"Sekiranya dihimpunkan semua program yang mereka canangkan, ternyata ianya tidak teratur. Seseorang itu tidak boleh berjanji untuk melupuskan tol, melupuskan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sebanyak RM40 bilion dan mengurangkan defisit belanjawan semuanya dalam satu masa.

"Dalam sekelip mata salah satu daripada janji-janji ini akan gagal dan akibatnya, rakyat menjadi marah dan ekonomi jatuh menjunam," tegas beliau.

Namun, di sebalik kebimbangan itu, Najib berkata beliau adalah seorang yang optimis.

"Saya percaya bahawa ketidakpuasan hati yang dihalakan ke arah kerajaan kerana kononnya gagal melaksanakan program mereka yang tidak masuk akal, akan hanya menemui kegagalan akhirnya.

"Ini kerana semakin banyak janji kosong yang ditabur kepada masyarakat umum, maka semakin hilanglah kepercayaan rakyat terhadap mereka," katanya. (BERNAMA)

6 comments:

  1. jika ingin lakukan perubahan, biarlah ia perubahan yang patut dan lebih baik.

    ReplyDelete
  2. Lebih baik transformasi ke arah positif. Yang penting rakyat bersedia dan menyokong transformasi yang kerajaan laksanakan.

    ReplyDelete
  3. Cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

    ReplyDelete
  4. pembangkang tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka mampu melaksanakan semua janji2 mereka sekiranya berjaya merampas kerajaan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab mereka tahu cakap saja. Janji politik.

      Delete
  5. Sesetengah pihak hanya tahu mengkritik untuk kepentingan agenda politik mereka sahaja.

    ReplyDelete