Monday, 12 March 2012

UMS MATERAI PELESENAN HARTA INTELEK

By : NIK JASNI CHE JAAFAR

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) melangkah setapak lagi dalam penyelidikan rumpai laut apabila menandatangani perjanjian pelesenan harta intelek penghasilan rumpai laut bersama tiga syarikat bagi tujuan pengkomersilan.

Tiga syarikat terbabit adalah Green Leaf Synergy Sdn Bhd, VC United Sdn Bhd dan Sebangkat Reef Eco Plants Sdn Bhd.

Naib Canselor UMS, Brig Jen Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon berkata melalui perjanjian itu, ketiga-tiga syarikat itu akan menggunakan teknologi penanaman rumpai laut milik UMS.

Teknologi terbabit adalah Eco-Friendsly Tie-Tie, baja rumpai laut, meja pengikat bibit dan anchor hasil hasil penyelidikan pasukan penyelidik UMS yang diketuai oleh Prof Madya Dr Shuhaimi Mohd Yasir.

Menurut Kamaruzaman, harta intelek adalah aset penting universiti dan akan menjana pendapatan apabila berjaya dikomersilkan.

“UMS secara keseluruhan berjaya memberi perlindungan kepada 44 harta intelek dalam bentuk paten, rekabentuk industri dan hak cipta.

“Beberapa darinya telah dinilai untuk tujuan perngkomersilan dan diharap dapat dijayakan dalam masa terdekat,” katanya di Majlis Anugerah Penyelidik UMS 2011, di sini, malam Jumaat.

Tahun lalu, UMS muncul sebagai peneraju Program Transformasi Ekonomi (PTE) dengan melaksanakan Inisiatif Entry Point Project 3 (EPP3) Sistem Estet Mini Rumpai Laut.

Pada 2011 juga, kata Kamaruzaman, UMS mendapat peruntukan RM10.4 juta melalui pelbagai kementerian untuk melaksanakan 40 penyelidikan baru.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk penyelidikan dan pengkomersilan rumpai laut melalui Jabatan Perdana Menteri manakala RM1.2 juta ditaja agensi swasta dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru para pensyarah yang belum mempunyai geran penyelidikan agar berusaha mendapatkan geran daripada sumber luar.

Menyentuh tentang aspek penerbitan, beliau berkata penerbitan bahan ilmiah hasil dari penyeldiikan adalah kriteria penting dalam menilai kualiti penyelidik.

“Tahun lalu, UMS telah menghasilkan 167 karya dalam bentuk jurnal berimpak tinggi. Bagaimanapun, dengan pelbagai insentif yang diberikan, diharapkan jumlah penerbitan ini akan dapat ditingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata pengurusan UMS akan sentiasa memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan penyelidikan yang terbaik.

“Selain insentif, UMS juga menyediakan geran penyelidikan kepada penyelidik muda serta menyediakan dana bagi membantu penyelidikan pascasiswazah.

“Universiti juga akan menyediakan dana untuk melindungi harta intelek selain dana menghadiri persidangan dan pertandingan rekacipta sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Tahun lalu, UMS merangkul lapan emas, 11 perak dan tujuh gangsa dari pelbagai pertandingan rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. (theborneopost)

6 comments:

  1. moga dgn ini UMS akan makin berkembang.

    ReplyDelete
  2. Bagus kalau UMS akan membantu membuat penyelidikan mengenai rumpai laut yang semakin maju di Sabah ini. Semoga kerjasama dari UMS ini akan dapat membantu meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti hasil tersebut.

    ReplyDelete
  3. UMS pasti dapat membantu para pengusaha untuk memastikan penyelidikan itu dapat memberikan yang terbaik kepada pengusaha.

    ReplyDelete
  4. syabas kepada UMS.. banyakkan lagi kajian dan penyelidikan untuk manfaat negeri ini..

    ReplyDelete
  5. Semoga UMS akan terus maju ke depan.

    ReplyDelete