Oleh: LAHIRUL LATIGU
DEWAN Pemuda PAS Negeri
Sabah (DPPNS) hari ini memuji langkah Pulau Pinang dan Kelantan yang
menangguhkan pemasangan dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik
(AES) bagi kesalahan trafik.
Apa yang dilaksanakan oleh
kedua-dua buah negeri ini merupakan adaptasi atau contoh kepada apa yang
diperkatakan iaitu negeri ‘berkebajikan dan utamakan rakyat dalam setiap
agenda’.
Selain itu, pihak DPPNS
turut mempertikai tindakan Kementerian Pengangkutan yang mempertahankan
pemasangan sistem tersebut biarpun mendapat tentangan dan kritikan sama ada di
kalangan pemimpin UMNO/ Barisan Nasional mahupun pihak Pakatan Rakyat. Ini
jelas bahawa, kementerian tersebut tidak mengendahkan suara pemimpin yang
dilantik rakyat sekaligus merendah-rendahkan martabat Dewan Parlimen selaku
penguasa penuh dalam setiap keputusan terhadap rakyat.
AES di Sabah
Sabah turut menjadi lokasi
pemasangan sistem berkenaan di mana 21 kawasan seluruh Sabah yang menjadi
lokasi strategik bagi pemasangan sistem berkenaan. DPPNS berpandangan bahawa,
pemasangan sistem di negeri ini adalah satu tindakan yang tidak membawa apa-apa
kesan terhadap pembangunan prasarana di negeri ini.
Untuk makluman, rakyat Sabah
terutamanya mahukan sebuah jaringan pengangkutan yang sempurna. Rakyat Sabah
sudah terlalu kerap dijanjikan imbuhan serta pembangunan, tetapi adakah semua
rakyat Sabah mengecapi kemakmuran berkenaan.
Buat apa dipasang sistem
AES, sedangkan jalan-jalan raya di Sabah boleh disifatkan terlalu teruk dan
mundur ke belakang. Boleh kiranya untuk dibandingkan jalan raya di Semenanjung
dan Sabah.
Apakah kiranya, rakyat Sabah
diminta bersabar lagi seperti mana suruhan mantan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamed yang meminta rakyat Sabah bersabar?
Kementerian Pengangkutan
sebenarnya boleh memahami situasi berkenaan dan tidak hanya menjadikan wang dan
kuasa sebagai tonggak segala-galanya. Kementerian Pengangkutan boleh sahaja
datang untuk melihat sendiri keadaan jalan di Sabah lantas mengeluarkan
perbelanjaan untuk menaik taraf sistem pengangkutan di Sabah ini. Sudahlah
untuk menipu rakyat Sabah dengan laungan ‘rakyat didahulukan’ sedangkan
pencapaian untuk rakyat tidak diendahkan.
Oleh yang demikian, pihak
DPPNS menggesa Kementerian Pengangkutan untuk menangguhkan dahulu pemasangan
dan penguatkuasaan sistem ini sementara menunggu titik persetujuan diantara
semua pihak – rakyat, kementerian dan pihak terbabit.
DPPNS turut menggambarkan
akan menangguh serta memansuhkan penggunaan AES ini di Sabah sekiranya berjaya
memerintah negeri ini. Apa yang penting ialah, hak dan keadilan rakyat menjadi
keutamaan di samping keselesaan serta kemakmuran yang perlu dikecapi rakyat
Sabah.
No comments:
Post a Comment