Tuesday, 2 October 2012

SISWA BUKAN PENERIMA BR1M 2.0




             
PEJABAT Menteri Kewangan menjelaskan bahawa pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0.
   
Pelajar IPT bagaimanapun layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 yang diberi buat kali kedua dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara, demikian menurut kenyataan Kementerian Kewangan yang dikeluarkan, kelmarin.
   
"Program Baucar Buku 1Malaysia yang dulunya bernilai RM200, adalah kesinambungan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kos membeli buku kepada para pelajar dan melibatkan peruntukan sebanyak RM325 juta," menurut kenyataan itu.
   
Penjelasan itu dibuat susulan beberapa laporan akhbar berhubung pemberian BR1M 2.0, yang menyebut bahawa golongan siswazah dan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan berusia 21 tahun ke atas, layak menerima bantuan itu.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2013 pada Jumaat lepas memaklumkan bahawa di bawah projek BR1M 2.0, hanya isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah layak menerima bantuan sebanyak RM500.
   
Bantuan itu kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan mereka layak menerima bantuan sebanyak RM250. (Bernama)

No comments:

Post a Comment