Thursday 25 April 2013

KEINDAHAN NOSTALGIK GUGUSAN LABIAN






Oleh : NORFARHANA AHYA ARIP

LAHAD DATU : Perkampungan di Gugusan Labian, yang menjadi perhatian umum susulan krisis pencerobohan pengganas Sulu dari Selatan Filipina baru-baru ini, sebenarnya adalah sebuah kawasan berpanorama indah.

Jika tidak kerana krisis pencerobohan itu pada 12 Feb lepas, keindahan kawasan ini serta penduduknya yang ramah mesra mungkin hanya diketahui penduduk setempat dan kakitangan Felda sahaja.

Gugusan Labian meliputi Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian Darat dan terletak kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, Sabah.

Kedudukannya yang berhampiran pantai menyerlahkan keindahan perkampungan di gugusan ini menerusi pantainya berpasir putih bersih dengan air kebiruan, rumah-rumah kampung dan sekolah berderetan di depan pantai, hingga boleh membuatkan pengunjung yang pertama kali tiba merasa terpaut hati, tenteram dan nyaman.

Apa yang lebih menarik, kawasan pantai di perkampungan ini adalah lokasi pertama di Malaysia yang menerima cahaya matahari seawal pukul 5.30 pagi dan boleh dilihat terus dari kawasan rumah setiap penduduk.

Dengan penyingkiran keluar pengganas berkenaan, kehidupan mula beransur kembali seperti biasa di kampung-kampung berdekatan Felda Sahabat.

Penulis yang berada di kampung ini untuk melihat bagaimana keadaan penduduk tempatan selepas episod hitam itu, seolah-olah terpegun dengan keindahan semulajadi Labian dan masyarakatnya yang ramah mesra.

Mesra Dan Sopan

Memang benar seperti kata orang, penduduk Sabah mudah mesra dan sopan, bila disapa mudah tersenyum.

Penduduk kampung di gugusan ini yang dalam hatinya masih terkesan dengan insiden pencerobohan itu masih mampu mengukir senyuman, malah sopan dan mesra dengan orang yang datang melawat mereka.

Rata-rata kumpulan pemberita turut memuji penduduk kampung ini yang mudah mesra dan berinteraksi.

Pengalaman penulis ketika melihat seorang wanita dalam umur 40-an menemani anak lelakinya ke sekolah dengan hanya membawa beg plastik berisi sebuah buku dan berpakaian biasa, amat menyentuh perasaan hati.

Namun bila penulis menemubual Siti Rogayah Mahatmah, beliau tidak lekang mengukir senyuman dan mesra menceritakan pengalaman yang dilalui beliau sekeluarga ketika insiden pencerobohan membuatkan penulis rasa tidak bersalah untuk terus mengetahui lebih lanjut pengalamannya.

Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Left. Mohd Hafiz Mohamed Sabilan berkata sepanjang sebulan berkhidmat di kawasan gugusan itu, penduduk kampung memberi kerjasama yang baik kepada pasukan keselamatan.

"Mereka mesra dengan pasukan keselamatan dan memudahkan kita mendapatkan maklumat," katanya.

Mahu Pandang Ke Hadapan, Lupakan Yang Lama

Walaupun banyak rumah musnah dan terjejas teruk akibat insiden pencerobohan sejak Februari lepas, namun penduduk kampung mahu meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan melupakan sahaja sejarah hitam yang dilalui mereka.

Bagi Noriana Jamil, 28, rumahnya musnah dibakar ketika pertempuran penceroboh dengan pasukan keselamatan dan kini beliau sekeluarga menetap di Pusat Penempatan Sementara Tabika Kemas Kampung Tanjung Labian, yang menempatkan 91 orang.

Namun, kesedihan itu terubat dengan kehadiran pemimpin masyarakat dan orang ramai yang menghulur bantuan dan bertanya khabar, katanya.

Baginya perkara yang lama perlu dilupakan dan berharap ada peluang baru untuk mereka sekeluarga memulakan kehidupan dan mencari rezeki.

"Semangat saya masih kuat untuk anak," katanya.

Seorang suri rumah Siti Kharijah Ujaman, 55, pula berkata tidak mahu mengingati ketakutan yang dialaminya kerana perkara itu hanya akan melemahkan semangatnya untuk melaksanakan tugas harian.

"Saya suka tinggal di kampung ini, tidak mahu keluar dari sini... semua penduduk di sini macam keluarga saya sendiri," katanya.

Terima Kasih Perwira Negara

Pasukan keselamatan yang terkorban kerana mempertahankan kedaulatan negeri Sabah tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila!

Kisah mereka terpahat dalam sejarah negara, namun ia pasti tersemat lebih kukuh di hati setiap penduduk kampung berkenaan.

Bagi penduduk kampung kehadiran pasukan keselamatan yang sanggup meninggalkan keluarga bagi menjaga keselamatan mereka di sini adalah sesuatu yang tidak mampu dibalas jasa mereka. Hanya doa dan ucapan terima kasih sahaja yang mampu diberi.

Arip Abdul Talip, 50, berkata, tahap keyakinan penduduk berhubung keselamatan di sini mula meningkat.

Malah bantuan yang dihulurkan oleh pasukan keselamatan bukan sahaja mengawal keselamatan, malah membantu mereka berpindah, membersih kawasan dan membawa penduduk sakit ke hospital.

Pilihan Raya Umum Ke-13

"Selamat!" itu jaminan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berhubung proses pilihan raya umum yang akan berlangsung di kampung berkenaan tidak lama lagi.

Jaminan itu turut diberikan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengunjungi pusat mengundi kampung berkenaan yang turut berpuas hati dengan persediaan pilihan raya.

Seramai 671 penduduk di Gugusan Labian akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi pada 5 Mei ini.

Penduduk Kampung Tanjung Labian, Nasarallah Mohammad, 50, berkata walaupun sibuk menguruskan urusan pembersihan dan berpindah, tetapi beliau sudah sedia untuk menjalankan tanggungjawabnya itu.

"Undi tetap undi," katanya bersemangat. (Bernama)

No comments:

Post a Comment