Thursday, 25 April 2013

SAPP TEKAD BAIKI KEPINCANGAN






Oleh : JACOB BALANG

MELALAP: Calon Parti Maju Sabah (SAPP) DUN Melalap, Roger Stimin berikrar untuk memperjuangkan hak asasi rakyat dinegeri ini terutamanya di kawasan DUN Melalap kerana masih banyak kepincangan; khususnya masalah kekurangan tanah sebagai penempatan masyarakat tempatan yang tidak memiliki tanah.

Beliau berkata, tanah-tanah rizab perkampungan kini telah pun sesak dan padat dengan penduduk di mana pertambahan kependudukan semakin meningkat tetapi masalah tersebut tidak pernah diambil perhatian sejak merdeka tahun 1963.

Tegasnya, malahan kebanyakan penduduk yang memiliki tanah yang telah pun diluluskan pengukurannya di kawasan persempadanan dengan Taman Negara di Banjaran Crocker; masih belum dikeluarkan geran dengan alasan yang diberikan Jabatan Tanah kononnya tanah yang dipohon sebahagiannya termasuk kawasan Taman Negara.

“Perkara seumpama ini telah berlaku sejak kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) di mana kebanyakan permohonan bertindih dan sukar untuk diproses oleh jabatan terbabit...(jadi), tidak seharusnya dibiarkan keadaan sedemikian terus berlaku.

“Kita mahu masalah ini disampaikan ke pengetahuan Dewan Undangan Negeri untuk diselesaikan kerana hanya kuasa DUN sahaja yang boleh mengubah kedudukan sempadan Taman Negara dengan perkenan Yang DiPertua Negeri Sabah,” kata beliau ketika memulakan siri pertama ceramahnya di Kg Langsat pada Khamis.

Roger yang juga seorang Peguam merupakan pendatang baru dalam arena politik melalui SAPP berkata, beliau menegaskan bahawa keinginannya untuk menawarkan diri bertanding pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) adalah semata-mata mahu berkhidmat kepada rakyat bagi menyelesaikan masalah kepincangan pembangunan yang tidak terurus selama ini.

“Kita mahu melihat aspirasi sesebuah kerajaan untuk membangunkan setiap kawasan benar-benar menuju sasaran yang tepat terutamanya pembasmian kemiskinan, ekonomi, pendidikan dan merapatkan jurang keistemewaan di desa dan bandar.

“Kita sudah melalui kemerdekaan 50 tahun di Sabah; namun masalah itu masih berlaku. Jalanraya masih terdapat jalan yang berlubang-lubang manakala perkhidmatan keretapi masih daif. Bagaimana pula dapat menarik lebih ramai kedatangan pelancong?” tegasnya.

Dalam pada itu, Roger mengharapkan agar rakyat menilai keadaan yang mereka lalui itu dan memberi mandat kepadanya pada PRU13 supaya kepincangan itu dapat diperbaiki bermula dari sekarang.

No comments:

Post a Comment