Friday 26 April 2013

MISI TAWAN LIMA NEGERI PEMBANGKANG







PEKAN : Datuk Seri Najib Razak meminta jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi bagi memastikan parti gabungan itu menawan kembali lima negeri pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Perdana Menteri berkata jentera parti perlu mengekalkan momentum kerja keras yang dilakukannya kini sehingga hari mengundi bagi memastikan rakyat terus memilih BN pada PRU13.

"Kali ini kita galas tanggungjawab berat kerana perlu pastikan BN terus memerintah negara ini.

"Kita mesti elak keputusan yang menyebabkan BN tidak pulih dari PRU 2008. Ini ujian paling besar dan inilah kemuncaknya. Jadi jangan kita rosakkan kerana ini masanya untuk kerja bersunggguh-sungguh dan tersusun serta meneruskan perjuangan kita," katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Kampung Sri Damai di Pekan, Khamis malam.

Najib, yang juga Pengerusi BN, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Selain itu, Najib berkata peringkat akar umbi BN juga harus memberi sokongan padu sekiranya mahu sebuah kerajaan yang kuat.

"Keputusan PRU ada kaitan dengan kedudukan kepimpinan negara. Kalau nak kerajaan yang kuat kepimpinannya, itu mesti disokong peringkat akar umbi.

"Justeru saya mahu jentera meneruskan kerja kuat kerana ia membabitkan imej negara dan parti...ini bukan soal saya tapi maruah parti dan kerajaan," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment