KOTA KINABALU: Presiden
Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck lee mengulangi pendirian bahawa
beliau dan parti itu tidak akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional tanpa
mengira apakah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Yong berkata, beliau tidak
mahu mengkhianati kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh rakyat kepadanya
selama ini.
Beliau mengulas dakwaan dua
bekas pemimpin SAPP, Ketua DAP Sabah Jimmy Wong dan Hiew King Cheu bahawa
beliau menerima sebahagian dari RM80 juta daripada Datuk Seri Musa Aman yang
diagihkan kepada parti-parti pembangkang untuk memecah belah undi pengundi.
Menafikan sekeras-kerasnya
dakwaan itu, beliau menggesa rakyat untuk memeriksa dan bijak menilai tuduhan
seumpama itu yang beliau sifatkan seolah-olah mensabotaj kepercayaan rakyat
kepadanya.
“Saya minta rakyat supaya
memeriksa dakwaan itu dan berfikir dengan waras adakah Musa akan bertindak
bodoh dengan membiayai lawanya sendiri,” katanya.
Kata Yong, Sabah memerlukan
pemimpin yang berani dan berpengalaman untuk membangkitkan masalah penduduk
tempatan seperti kebanjiran pendatang tanpa izin, pemberian kad pengenalan dan
sebagainya.
“Masalah-masalah ini perlu
ditangani dengan berani dan berkesan kerana ia sudah lama menghantui ketenangan
rakyat. Rakyat tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani isu ini kerana
ia menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat sabah,” katanya lagi.
Yong menambah, SAPP yang diasaskan
pada 21 Januari 1994 adalah sebuah parti tempatan berbilang kaum dan lantang
menuntut kuasa autonomi untuk sabah dan penyelesaian masalah pendatang haram
serta pemberian kad pengenalan kepada bukan warganegara.
SAPP asalnya adalah parti
komponen BN dan meraih dua kerusi parlimen (Sepanggar dan Tawau) dalam pilihan
raya umum 2008.
Sehubungan itu, beliau
meminta mandat daripada pengundi untuk membentuk kerajaan yang akan bertindak
adil, telus dan dapat menghapus rasuah.
Sementara itu, calon
Parlimen SAPP bagi Sepanggar, Chin Hon Kiong berkata, kerajaan membohongi
rakyat Sabah apabila mengatakan mereka akan menghormati dan melaksanakan 20
perkara dalam Perjanjian Malaysia.
“Sebenarnya BN langsung
tidak menghiraukan Perjanjian itu. Mereka tidak jujur dalam memberikan layanan
yang adil dan saksama kepada rakyat Sabah,”
Tambahnya, Manifesto BN juga
tidak menyebut mengenai Dasar Kabotaj yang menyebabkan kos taraf hidup penduduk
Sabah antara yang tertinggi di Malaysia.
Chin mempersoalkan janji
memberikan peruntukan terbesar iaitu lebih daripada 20 peratus royalti minyak
bagi Sabah yang dijanjikan oleh parti pembangkang.
Katanya, kerajaan
persekutuan bertanggungjawab memperuntukan dana pembangunan kepada setiap
negeri ini dan tiada kena mengena dengan 20 peratus royalti minyak yang
dituntut oleh pihak pembangkang.
No comments:
Post a Comment