Sunday 28 April 2013

SEJUTA RUMAH MAMPU MILIK BUKAN JANJI KOSONG






YAKIN....VK Liew Yakin Kerusi  Parlimen Sandakan masih milik BN

Oleh: SHAIMON S JUMADI                  Foto : MIMIE AZZARYA M

ELOPURA : Rakyat Elopura, khususnya yang tinggal di Kampung Forest disaran agar tidak mudah mempercayai hasutan yang kini giat masuk kampung keluar kampung dengan menabur pelbagai janji manis tanpa asas demi meraih undi yang amat berharga.

"Kita tahu penduduk di Kampung Forest  bukan semudah itu digula-gula mereka sudah pintar menilai yang mana satu baik dan yang mana satu buruk.

"Walaupun Kampung Forest merupakan kampung setinggan, tetapi banyak kemudahan asas telah disalurkan seperti paip air, jambatan kayu dan juga masjid," demikian antara intipati ucapan Penyandang Kerusi DUN Elopura, Au Kam Wah ketika  memberi ceramah di hadapan 200 pengundi di Kampung Forest, kelmarin.

Katanya lagi, Perdana Menteri Malaysia telah pun berjanji sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat semula selepas 06 Mei untuk membentuk kerajaan baru, maka kerajaan akan membina sejuta buah rumah mampu milik di seluruh negara.

"Senario ini jelas menunjukkan kerajaan BN yang dipimpin oleh Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak tiada noktahnya dalam membela nasib rakyat, tanpa mengira suku bangsa dan warna kulit,” jelasnya.

Sementara dalam ucapannya, penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong berjanji sekiranya kerusi Parlimen Sandakan masih kekal milik BN; beliau akan meneruskan agendanya bagi membangunkan daerah Sandakan lebih pesat daripada sekarang.

"Calon DAP, Steven Wong jangan mimpi boleh jadi Menteri Kabinet di peringkat persekutuan kerana cakap Melayu pun tidak fasih, apa lagi bahasa Inggeris pun, lintang pukang,” jelas V.K Liew yang berkeyakinan penuh kerusi dua kerusi Parlimen majoriti Cina di Sandakan kekal milik BN.

Kata V.K.Liew, tiga tahun lalu penduduk Kampung Sim-Sim yang tinggal di Lorong 1 sehingga ke Lorong 24, terpaksa membahayakan diri mereka meniti di atas jambatan kayu; tetapi sekarang kesemuanya telah digantikan dengan jambatan simen yang memakan belanja lebih RM20 juta.

"Bukankah ini menunjukkan kerajaan BN benar-benar prihatin terhadap permasalahan rakyat dan kita tidak hanya cakap, tetapi janji kita tepati,” tambah V.K Liew.

Sehubungan itu, V.K.Liew merayu agar semua pengundi di kawasan Parlimen Sandakan jangan berfikir panjang untuk meneruskan tradisi memberikan undi kepada calon BN kerana jika tersalah pangkah dan salah memilih calon pembangkang; maka penyesalan sudah tidak memberi makna lagi.

No comments:

Post a Comment