Saturday 27 April 2013

MENGAPA KITA MESTI PILIH STAR?







Oleh : JALIBIN PAIDI

STAR adalah sebuah parti memperjuangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 20 dan dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963. Malaya memujuk kita membentuk sebuah Negara baru bernama Malaysia dengan jaminan rakan kongsi sama taraf, jaminan memerintah sendiri dan tidak dijajah.

Semua jaminan ini adalah tersurat seperti kenyataan-kenyataan oleh Tunku Abd. Rahman, Perdana Menteri Malaya 1957-1963.

Kita bersetuju membentuk Malaysia disebabkan ancaman keselamatan oleh pihak Indonesia dan Filipina. Tapi bila kita sudah membentuk Malaysia, sebaliknya pula IC Projek dibuat untuk memberi kewarganegaraan kepada rakyat negara yang kita takut iaitu Indonesia dan Filipana.

Kita mungkin tidak ditelan oleh dua negara itu, tapi kini rakyat dua buah negara itu sudah melebihi bilangan kita di negeri kita sendiri. Lebih teruk, di Kinabatangan, 117,000 dari 150,00 penduduknya adalah orang Indonesia atau Filipina yang punya IC atau tanpa IC.

Harus diingat, walau pun kita takut ancaman Filipina dan Indonesia sebagai alasan membentuk Malaysia, kita membentuk Malaysia dengan adanya perlindungan hak iaitu 20 syarat kita setuju bergabung. Syarat itu terkenal disebut sebagai Perkara 20.

Tapi nampaknya UMNO sudah membakulsampahkannya dan PKR pula mahu mengkajinya sebagai penarik untuk kita mengundi mereka. P20 adalah syarat kita setuju membina Malaysia, maka ianya adalah untuk dilaksana, bukan untuk dikaji atau untuk dibakulsampahkan!

Beberapa kandungan penting P20 yang sudahdirosakkan dan tidak dipatuhi ialah P1, P2, P6, P8, P11 dan P20 sedangkan P16 pula dengan jelas menyatakan bahawa adanya perlindungan hak terhadap Sabah dalam Malaysia.

Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia juga dengan jelas mengatakan bahawa Kerajaan Sabah boleh mengambil apa-apa juga tindakan termasuk perundangan supaya semua syor, aku janji dan jaminan pembentukan Malaysia itu dilaksanakan seperti kehendak Perlembagaan Malaysia.

P1 mengatakan bahawa kita di Sabah bebas beragama dan kita setuju bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia. P2 pula mengatakan bahawa Bahasa Inggeris adalah Bahasa Rasmi Sabah.

Malangnya pindaan di DUN Sabah telah dibuat pada tahun 1970an menyebabkan kini Bahasa Melayu menjadi Bahasa Rasmi Sabah. Hal ini membuktikan bahawa untuk hal berkaitan hak dan kepentingan Sabah, hanya DUN Sabah yang berhak melaksana atau membatalkannya dan bukannya perlu merujuk kepada Kerajaan Pusat.

P6 adalah berkaitan Imigresen. Sarawak masih mengawal penuh Imigresen negeri mereka. Sebab itu tiada isu PTI, IC Projek atau kes pencerobohan orang asing di sana. Tiada kes orang tempatan dibunuh atau dirogol orang asing di Sarawak.

Tiada orang Pakistan diberi IC di sana dan tidak wujud pengundi hantu. Malah, orang dari Malaya sendiri tidak boleh sesuka hati memasuki Sarawak. Ini jelas membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak sepatutnya sebuah wilayah autonomi dalam Malaysia.

P8 pula menjamin semua jawatan di Sabah mesti disandang oleh orang Sabah sendiri. Nampaknya, sebaliknya pula, penjawat awam di Sabah berasal dari Malaya semakin ramai.

Mereka sudah merampas hak kita dan menyebabkan ramai anak muda kita menjadi penganggur. P11 yang menjamin hak kita mengurus hasil kewangan dan percukaian sendiri sudah diambil peranan oleh LHDN. Akibatnya, hasil cukai kita dibawa ke Malaya.

Pada tahun 2012 misalnya, hasil cukai kita ialah RM24 billion, tapi malangnya hasil ini semuanya Malaya ambil. Maka tidak hairan kalau Sabah terus mundur dan Malaya terus maju.

Pada tahun 2012, jika hasil cukai RM24 billion dicampur dengan hasil minyak Sabah RM17.8 billion, maka jumlahnya RM41.8 billion. Inilah jumlah yang Malaya ambil hasil kita tahun lalu. Jika wang ini dibahagi sama rata kepada semua Sabahan tulen, setiap orang Sabah akan dapat RM2,322.00 setiap bulan!

Bayangkan duit sebanyak itu sepatutnya kita miliki tapi hilang begitu saja kerana Perkara 20 dicabuli. Jika RM41.8 billion itu dicampur dengan hasil kutipan Kerajaan Negeri sebanyak RM4 billion tahun lalu, ia sudah berjumlah RM45.8 billion.

Jika ia dibahagi kepada 60 DUN di Sabah, setiap DUN akan ada duit sebanyak RM763 juta untuk dibelanjakan. Pembangunan dan kemajuan akan terhasil hanya dalam tempoh setahun! Sabah kaya tapi Malaya yang nikmati kekayaan kita.

P20 pula memberi kita kuasa berkaitan Tanah, Hutan, Kerajaan Tempatan dan lain-lain. Tapi bila parti pemerintah Sabah adalah dari Malaya, Sabah hanya miliki Ketua Menteri bertaraf mandur untuk menjaga Sabah seperti arahan ketua partinya di Malaya.

Kalau ketuanya di Malaya arah itu dan ini berkaitan tanah atau hutan atau apa saja, ketua yang dilantik Malaya itu akan menuruti semua perintah itu demi menjamin kedudukan jawatannya sendiri. Sebab itu, syarikat sawit dari Malaya begitu mudah mendapat tanah-tanah subur di Sabah dan merampas tanah NCR orang asal Sabah.

Lebih teruk, Perlembagaan 18.4 PKR menyatakan bahawa semua jawatan seperti Ketua Kampung dan Pengerusi JKK hendaklah dilantik oleh Presiden PKR selepas mempertimbang cadangan Pengerusi MPN PKR negeri.

Bayangkan bila Ketua Kampung pun kelak tertakluk kepada menurut perintah Presiden sebuah parti dari Malaya. Ia benar-benar bertentangan dengan semangat penubuhan Malaysia dan merosakkan autonomi Sabah.

Sesungguhnya, kita wajib tolak penjajahan Malaya ke atas Sabah dan menolak kemasukan parti-parti Malaya di Sabah. P20 dengan jelas menyatakan bahawa Sabah ini kita punya dan bukan Malaya punya. Malaysia ini pula adalah milik kita bersama secara sama taraf antara Sabah, Malaya dan Sarawak dan bukannya milik Malaya seorang. Semangat pembentukan Malaysia mesti kita pulihkan. Sabah ini adalah bertaraf Negara dalam Malaysia.

Buktinya, Sabah, Malaya, Sarawak dan Singapura adalah penandatangan Perjanjian Malaysia. Perlis, Johor atau negeri di Malaya tidak pun layak menandatangan perjanjian itu. IC kita dulu juga adalah ‘H’, setaraf dengan IC di seluruh Malaya ‘A’ dan Sarawak ‘K’. Kini IC kita sudah turun taraf menjadi 12 atau kita menjadi negeri ke-12 dalam Malaysia!

Ayuh bersatu seluruh Sabahan. Siapa pun kamu, dari mana pun kamu, apa pun agama kamu, apa pun suku kamu, Sabah ini adalah kita punya. Mari bersatu memperjuangkan hak.

Mari bersatu dalam STAR. STAR adalah satu-satunya parti yang berjuang demi hak Sabah yang tercinta.

No comments:

Post a Comment