Wednesday 24 April 2013

KEPUTUSAN SABAH SERTAI MALAYSIA TEPAT







BONGAWAN : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan rakyat Sabah menyertai Persekutuan Malaysia, yang merintis jalan mencapai kemerdekaan pada 16 Sept 1963, adalah tepat dan kini rakyat Sabah boleh melihat perubahan besar yang berlaku di negeri ini.

Perdana menteri berkata kejayaan itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa terutama dalam dua perkara penting iaitu keselamatan dan kestabilan.

'Saya percaya Sabah tidak silap (ralat) membuat keputusan (menyertai Malaysia) kerana apabila Sabah merdeka dalam Malaysia, rakyat Sabah boleh lihat satu persatu perubahan.

"Bagaimanapun, kalau tidak ada keamanan dan kestabilan maka tidak mungkin kita boleh membawa pembangunan dan kemajuan. Apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna (pencerobohan) baru-baru ini,  merupakan pembuka mata kepada kita.

"Satu kejutan tetapi pembuka mata kepada kita bahawa sebenarnya bumi Sabah ini sungguh besar nilainya kepada kita semua," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Padang Bongawan, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan Mohamad Alamin dan calon DUN Membakut Datuk Arifin Mohd Arif.

Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan BN akan mempertahan kemerdekaan dan kedaulatan negara khususnya di Sabah.

"Saya begitu sebak bila menerima jenazah para perwira negara yang terkorban demi mempertahankan Sabah merdeka dalam Malaysia.

"Apa yang mengharukan saya ialah apabila berbual dengan balu-balu 10 orang wira negara yang terkorban, tidak ada seorang pun yang merasa menyesal malah mereka kata mereka bangga dengan pengorbanan suami mereka. 

"Mereka bukan datang dari Kimanis, Papar atau Sandakan tetapi dari Besut, Pasir Mas Kelantan, Pelabuhan Klang di Semenanjung tetapi mereka sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk memastikan Sabah selamat dan merdeka," katanya.

Najib berkata pengorbanan mempertahan bumi Sabah itu adalah besar ertinya daripada sebarang tuntutan lain.

"Ya, kita boleh buat jalan, jambatan, hospital dan sekolah, tetapi siapa akan berada di sisi kita untuk mempertahan maruah dan kedaulatan kita.

Pembangkang? Bukankah mereka memperlekeh pasukan keselamatan? Mereka menimbulkan rasa kecurigaan dan membuat perjumpaan yang amat mencurigakan sehingga hari ini tidak ada mereka beri apa-apa jawapan kenapa perjumpaan itu dilakukan.

"Inilah soalan yang berlegar di kepala rakyat Sabah. Siapa yang boleh menjamin kemedekaan dan kedaulatan, melainkan kerajaan BN bersama pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia dan Tentera," katanya.

Najib berkata anggota keselamatan telah berkorban nyawa untuk rakyat Sabah dan "inilah maknanya kita merdeka dalam Malaysia".

"Kita tidak gentar kepada Kiram (penceroboh)... mereka kejam dan kita kuat iman dan kita tabah,  kita tahu bahawa kita berhak (ke atas bumi Sabah). Agama membenarkan kita mempertahankan nyawa, tanah dan kampung halaman kita. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment