Sunday 28 April 2013

PENGUNDI TANJONG BATU MASIH BERSAMA BN






TAWAU : Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat yakin rakyat, khususnya pengundi kawasan itu, masih teguh menyokong perjuangan parti gabungan berkenaan.

Beliau berkata meskipun mungkin ada segelintir pengundi menyebelahi pembangkang, namun mejoriti rakyat tetap bersama BN memandangkan kerajaan yang diterajui parti gabungan itu tidak pernah berhenti membela nasib rakyat.

"Selain melaksanakan pembangunan dalam kampung, pelbagai bantuan juga diberikan seperti kepada anak-anak sekolah, kebajikan nelayan, bantuan 1Azam, bantuan Karisma dan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia," katanya kepada pemberita Sabtu.

Hamisa berkata demikian selepas merasmikan pembukaan jalan sepanjang 240 meter di Kampung Tanjung Batu Darat, yang siap dinaik taraf dan memberi manfaat kepada penghuni kira-kira 42 rumah di kawasan itu.

Sejak memenangi kerusi DUN Tanjong Batu pada pilihan raya umum 2008, beliau serta jentera kerajaan tidak pernah berhenti memberi perkhidmatan kepada rakyat, dan sehubungan itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Kalabakan itu yakin rakyat akan membuat pilihan bijak.

"BN tidak pernah mungkir janji. Pembangkang pun ada manifesto, tetapi di Selangor, mereka gagal laksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto kerana mereka menganggap manifesto itu bukan janji.

"Di sini (Sabah) sama juga, (pembangkang) anggap manifesto bukan janji. Rakyat sudah tentu tahu membuat penilaian," katanya.

Sehubungan itu, Hamisa menasihatkan rakyat agar terus mengekalkan BN pada PRU13 kerana kerajaan ini cukup berpengalaman dalam mentadbir negara.

Sementara itu, jurucakap penduduk Kampung Tanjung Batu Darat Erwin Salamat berkata jalan berkenaan siap dinaik taraf pada Februari lepas dan mereka amat berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak perlu lagi melalui jalan becak serta berlumpur untuk ke jalan utama.

Hamisa, yang juga penyandang kerusi DUN Tanjong Batu, berdepan calon PAS Fatmawaty Mohd Yusuf. DUN Tanjong Batu mempunyai 18,386 pengundi. (Bernama)

No comments:

Post a Comment