Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI
PINJAMAN Hussin (tengah) bukanlah
sebuah nama yang asing dalam politik Sabah, khasnya Kota Belud. Insan ini
adalah pelopor kebangkitan semangat politik orang Iranun pada tahun-tahun
70-an, pernah bertanding atas tiket PEKEMAS, parti yang diasaskan oleh Dr Tan
Chee Kon.
Telah lama isu ‘pemain
import’ berlegar dalam udara politik daerah ini, rasanya sejak PRU-12 berikutan
terpilihnya Dato’ Abd Rahman Dahlan untuk bercalon sebagai Ahli Parlimen P169
Kota Belud, menggantikan Datuk Seri Salleh Said.
Tidak dinafikan, memang
timbul persoalan kenapa agaknya Rahman terpilih sebagai wakil rakyat bagi
kerusi parlimen ini, sedangkan ramai anak tempatan Kota Belud yang berkelayakan
untuk bertanding di kerusi itu.
Namun gelaran tersebut
lambat laun hilang, apabila Rahman membuktikan karismanya sebagai Ahli Parlimen
di Dewan Rakyat. Rahman membidas hujah pihak pembangkang dengan hujah yang
bernas dan fakta yang tepat.
Apabila masa berlalu, PRU-13
menyusul, isu tersebut diputar lagi dan kini Rahman bukan lagi digelar sebagai
‘pemain import’, tetapi bertukar nama kepada ‘ayam import’!
Dari mulutnya terungkap
rahsia betapa Rahman yang dilabel sebagai ‘ayam import’ itu, ibubapanya memang
berasal dari Kota Belud, kerana Hj Dahlan bersepupu dengan ibunda Pinjaman, Hjh
Hafsah Datu Abpa.
Justeru menurut Pinjaman,
generasi muda harus mempunyai kesanggupan untuk menelusuri susur galur
kekeluargaan yang kian pupus oleh perasaan perkauman. Katanya suku Bajau dan
Iranun mempunyai pertalian darah yang nyata, demikian juga dengan suku Dusun
yang ada di daerah ini. Tradisi ‘migkeret’ iaitu ‘mencicip darah antara suku
Dusun dan Iranun atau Bajau’ telah merapatkan hubungan mereka sejak berzaman.
Pada malam ceramah politik 'Janji
Ditepati' yang menghimpunkan hampir 500 orang di halaman rumah beliau di
Rampayan Laut itu, Pinjaman mengingatkan agar generasi muda mengusir sikap
mementingkan diri dan belajar menghormati orang lain.
Selain ahli politik atau
penggalur salasilah keluarga yang hebat, Pinjaman juga adalah pengingat puisi
kalang yang baik. Malam tersebut Pinjaman membacakan puisi ini: Mekali abal
kapal, pedungku’ suang kendis ; nia’ tedaya akal, pekam peliak nangis.
Puisi ini sangat baik untuk
dibuat renungan, khususnya dalam percaturan politik sekarang. Puisi itu kira
bermakna- terdengar khabar kapal, berlabuh di Sungai Kendis; tak tercapai dek
akal, meniarap dan telentang menangis.
No comments:
Post a Comment