PEKAN : Datuk Seri Najib Tun
Razak meminta rakyat tidak memberatkan perkara remeh temeh, sebaliknya
memikirkan soal lebih besar dalam membentuk sebuah kerajaan yang kukuh pada
pilihan raya umum ke-13 ini.
Perdana Menteri berkata
jangan disebabkan 'hujan sehari, habis kemarau lima tahun', yang bermaksud
segala kebaikan yang dilakukan kerajaan BN selama ini, dinafikan hanya kerana
perkara remeh temeh.
"Kita harus memikirkan
kepada soal-soal lebih besar daripada perkara remeh yang mengalih sokongan.
"Ini bukan bererti
perkara itu tidak penting, seperti masalah tak ada titi kecil di depan rumah
atau sebagainya (masalah-masalah setempat), kita alih pandangan kita (kepada
pembangkang)," katanya ketika berucap di bilik gerakan pilihan raya Pusat
Daerah Mengundi (PDM) Serambit, di sini, Rabu malam.
Najib, yang juga penyandang
kerusi Parlimen Pekan, berkata rakyat perlu menilai kerajaan BN yang selama ini
sanggup 'bersusah senang' bersama rakyat.
"Susah senang kita
bersama, bukan dengan orang luar (pembangkang), takkan lah kita nak lupa apa
yang kita dibantu selama ini, jangan disebabkan hujan sehari habis kemarau lima
tahun," katanya.
Beliau juga berharap
pengundi di Parlimen Pekan terus memberi sokongan supaya BN memperoleh majoriti
yang lebih besar pada pilihan raya umum, 5 Mei ini.
"Secara kebetulan,
calon Parlimen Pekan adalah calon ketua kerajaan, ini juga kali pertama saya
bertanding atas tiket mewakili BN, bukan sahaja sebagai calon Pekan tetapi
Pengerusi BN," katanya.
Najib berkata kemenangan
dengan majoriti yang besar di Pekan akan menjadi penilaian kepada sokongan
rakyat kepada BN dan beliau sebagai Pengerusi BN dan ketua negara.
Beliau berkata rakyat perlu
sedar bahawa tujuan pilihan raya adalah untuk menubuhkan sebuah kerajaan di
peringkat nasional dan negeri.
Najib berkata jika BN terus
kekal mentadbir negara, maka akan lebih banyak pembangunan yang akan dapat
dinikmati penduduk di Pekan.
Najib yang tiba dari lawatan
padat selama dua hari di Sabah, terus meluangkan masa melawat Bilik Gerakan
Pilihan Raya PDM Lepar, Pulau Manis, Paloh Hinai, Serambi, sebelum meneruskan
lawatannya ke Padang Rumbia, Kampung Temai dan Kampung Acheh.
Turut serta dalam lawatan
itu penyandang calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Khairuddin
Mahmud serta Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Mohamad, penyandang
DUN Bebar serta calon muka baharu BN DUN Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd Arif. (Bernama)
No comments:
Post a Comment