Tuesday, 14 May 2013

ANGKAT SAMPAH SEBELUM ANGKAT SUMPAH!






SAMPAH….Saifullah menunjukkan timbunan sampah yang tidak diangkut oleh pekerja MDS. Sampai bila fenomena ini akan berakhir?

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

SEMPORNA : Kurangnya tanggungjawab pihak Majlis Daerah Semporna (MDS) memantau  masalah sampah sarap bertaburan dan kerosakan jalan-jalan di tengah-tengah pekan Semporna telah menimbulkan pelbagai reaksi; bukan sahaja di kalangan  penduduk setempat, bahkan para pelancong asing yang kerap kali berkunjung ke daerah Mutiara ini.

Pemuda UMNO Cawangan Kampung Air Semporna 1, Mohd Saifullah Minggu yang membuat tinjauan ke pekan Semporna bersama jurugambar dan wartawan Kanan Sabahkini.Net  ke sebelah bangunan Pusat Membeli belah Giant; selain mendapati beberapa lorong jalan berlubang di sana sini yang ditakungi air; turut jengkel dengan timbunan sampah yang tidak dikutip oleh pekerja MDS.

“Saya harap tiga ADUN ini iaitu Senallang, Bugaya dan Sulabayan termasuk Ahli Parlimen Semporna, Datuk Hj Mohd Shafie Hj Apdal agar angkat dulu sampah, sebelum angkat sumpah," kata Saifullah yang menggesa agar kesemua Wakil Rakyat Semporna segera menjalankan kewajipan mereka setelah memenangi kerusi masing-masing.

Saifullah turut mendesak agar semua Wakil Rakyat Semporna menggesa Pegawai Eksekutif MDS supaya pro aktif dan inovatif menjalankan tugas sebagai pegawai awam yang berdedikasi dan bukannya seperti pahat dengan penukul.

Sebagai anak jati Semporna yang juga merupakan penyokong tegar UMNO, kata Saiffullah, beliau malu bila melihat keadaan daerah Semporna yang terlalu kotor; bukan sahaja jijik di mata penduduk Semporna, malah bakal menconteng peta pelancongan dunia.

“Punca kekotoran di sekeliling pekan Semporna dan kerosakan jalan raya yang berlubang di sana sini adalah dari kegagalan MDS sendiri kerana hanya 'pegawai kelas tadika' yang ditugaskan menangani masalah tersebut," tegas Saifullah.

Dalam hal ini, kata Saifullah, rakyat sering menyalahkan wakil rakyat tetapi sebenarnya berpunca daripada kelemahan tadbir urus MDS sendiri sehingga mencemarkan nama baik kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kami golongan muda yang merupakan ahli Pemuda UMNO Cawangan Kampung Air Semporna 1, bukan saja berpendidikan, bahkan berwawasan ke arah merealisasikan pembangunan negara khususnya memajukan daerah Semporna dengan lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” kata Saifullah.

Selaku pemimpin pelapis, Saifullah menegaskan, pihaknya akan terus membuat teguran dan kritikan membina agar semua Wakil Rakyat Semporna menjadi 'Khadam Kepada Rakyat' dan bukannya mengkhadamkan rakyat.

No comments:

Post a Comment