POLIS Ketua Polis Negara
(KPN) Tan Sri Ismail Omar bukan meletakkan jawatan, sebagaimana yang disebarkan
di media sosial, tetapi akan bersara wajib pada 17 Mei ini.
Dalam satu kenyataan di
laman facebook rasmi PDRM, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat)
PDRM, ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata majlis persaraan Ismail akan diadakan
pada 16 Mei ini.
"PDRM memandang serius
tentang penyebaran fitnah di media sosial dan blog mengenai peletakan jawatan
Ketua Polis Negara yang dikatakan ekoran desakan dari parti politik. Kenyataan
tersebut adalah berniat jahat dan merupakan satu fitnah," katanya.
Menurutnya, keadaan di Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman juga berada dalam keadaan aman dan tiada kekecohan
atau huru-hara seperti yang digembar-gemburkan melalui media sosial.
"Justeru, orang ramai
diingatkan untuk tidak mengambil endah fitnah tersebut apatah lagi menjadi
sebahagian daripada individu yang turut sama menyebar dan memanjangkan fitnah
berkenaan," katanya.
Beliau mengingatkan bahawa
individu yang terlibat dalam menyebarkan maklumat palsu dan berbaur hasutan ini
boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Ismail adalah IGP kesembilan
selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Musa Hassan (kanan) pada
September 2010.
Beliau dijangka menyerahkan
tugasnya kepada timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar semasa majlis makan
malam persaraannya pada 16 Mei.(MKINI)
No comments:
Post a Comment